Gaza kekurangan khemah menjelang musim sejuk

Gaza kekurangan khemah menjelang musim sejuk

Penduduk Palestin melalui kawasan khemah penempatan sementara di Khan Yunis, utara Gaza. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hampir keseluruhan penduduk Gaza memerlukan khemah atau bantuan tempat perlindungan menjelang musim sejuk, ketika fenomena cuaca El Niño dijangka membawa hujan lebih lebat, sedangkan bekalan bantuan masih terhad akibat sekatan Israel.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) pada Jumaat memberi amaran fenomena El Niño yang berpotensi menjadi paling kuat pernah direkodkan itu boleh memburukkan keadaan bangunan yang tidak selamat serta mencetuskan banjir berikutan kerosakan teruk sistem saliran di wilayah berkenaan.

Ketua Pengarah IOM, Amy Pope, berkata hampir dua juta penduduk Gaza yang terjejas akibat perang Israel-Hamas sejak Oktober 2023 memerlukan bantuan, namun hanya kira-kira 17 peratus daripada keperluan bekalan tempat perlindungan musim sejuk berjaya dipenuhi oleh agensi kemanusiaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keluarga yang sudah berdepan perpindahan berulang kali dan kehilangan besar mesti dapat menghadapi musim sejuk dalam keadaan selamat dan bermaruah,” katanya.

Beliau berkata, sekatan yang dikenakan pihak berkuasa Israel menyukarkan agensi bantuan meningkatkan operasi bagi memenuhi keperluan penduduk.

Menurut IOM, kira-kira 8,600 kit perlindungan kecemasan yang mengandungi kayu, kanvas kalis air dan bahan asas lain tidak dibenarkan memasuki Gaza kerana dikategorikan oleh pihak berkuasa Israel sebagai barangan yang boleh digunakan untuk tujuan awam dan ketenteraan.

COGAT, badan ketenteraan Israel yang menyelia kemasukan bantuan ke Gaza, tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan komen Reuters.

Israel sebelum ini mempertahankan sekatan terhadap Gaza atas alasan keselamatan.

IOM berkata, pihaknya berjaya membawa masuk sejumlah kanvas kalis air dan khemah ke Gaza, namun bekalan itu masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk pada skala semasa.

Lebih separuh daripada khemah dan tempat perlindungan sementara di wilayah itu perlu diganti kerana berada dalam keadaan daif, menurut IOM yang memberi amaran pilihan tempat perlindungan alternatif amat terhad berikutan risiko keselamatan akibat kerosakan bangunan dalam perang.

Menurut IOM, lebih 3,600 struktur dikenal pasti pada Ogos lalu sebagai berbahaya dan berisiko runtuh, manakala kira-kira 1.8 juta penduduk tinggal di kawasan penempatan sementara, kebanyakannya di lokasi yang berisiko dilanda banjir.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini