PETALING JAYA: Serbuan pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kampung Nakhoda dan Kampung Laksmana semalam tidak melibatkan Masjid Kampung Nakhoda yang berada di lokasi berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan yang dilaksanakan itu membabitkan dua premis yang dijadikan pusat keagamaan oleh warga asing.
Katanya, terdapat dua premis diperiksa iaitu sebuah masjid dan premis bangunan di lokasi terbabit.
“Premis itu telah dijadikan tempat keagamaan atau tempat ibadah oleh warga asing tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, kita juga ada melakukan pemeriksaan sebuah Masjid bagi mengenal pasti sekiranya terdapat warga asing tidak mempunyai dokumen atau pas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, enam warga asing yang ditahan dalam serbuan semalam masih ditahan bagi membolehkan pihak imigresen menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan maklumat lanjut termasuk tempoh mereka berada di negara ini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Nakhoda, Mohd Azmi Md Eusoff ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, serbuan dilaksanakan semalam tidak melibatkan Masjid Kg. Nakhoda
Katanya, laporan yang disiarkan oleh media sebelum ini terdapat kekeliruan dan kurang tepat.
“Tiada pemeriksaan atau ajaran itu di Masjid Kg. Nakhoda sebaliknya terdapat premis persendirian yang dijadikan pusat kegiatan keagamaan oleh warga asing,” katanya. – UTUSAN









