PETALING JAYA: Kira-kira 2,000 ahli Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) yang difatwakan sesat dan terkeluar daripada ajaran Islam dipercayai masih bergiat aktif di negara ini khususnya di Sabah, Sarawak dan Selangor.
Menurut sumber, ahli kumpulan JAMM itu yang dahulu dikenali sebagai Jemaah Ahmadiah Qadiani (JAQ) dipercayai bergiat aktif di Gombak, Selangor, sekitar Sabah dan Sarawak.
“Siasatan awal mendapati seramai 500 ahli JAMM di Sabah terdiri daripada warga tempatan.
“Di Semenanjung pula, rangkaian JAQ ini dikesan bertapak di Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat Gombak dan dipercayai masih aktif sehingga hari ini.
“Program Jalsa Salanah Wilayah Sabah ke-32 2026 bermula 29 hingga 31 Mei merupakan acara tahunan yang menghimpunkan ahli-ahli JAAM di sekitar Sabah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, kira-kira 288 ahli dan 12 pemimpin yang ditahan itu termasuk seorang pemimpin atau khadam ajaran terbabit yang berpangkalan di Gombak, Selangor.
Jelas sumber, JAMM ini yang dahulunya dikenali sebagai JAQ, difatwakan sesat di Sarawak pada 2005 dan pada 13 September 2007 di Sabah, namun tidak dikategorikan sebagai terkeluar daripada Islam.
Di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur), ajaran tersebut sudah difatwakan sebagai terkeluar daripada agama Islam oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sejak 2004 dan di Selangor diwartakan pada 1998 dan 2000.
“Bagaimanapun Selangor dan Wilayah tidak dapat mengambil tindakan terhadap mereka kerana ia difatwakan sebagai terkeluar daripada Islam. Sebab itu mereka masih boleh menganjurkan program, namun pihak berkuasa masih memantau.
“Justeru, PDRM bersama jabatan agama akan meningkatkan pemantauan di seluruh negara termasuk semenanjung Malaysia bagi membendung ajaran ini daripada berleluasa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 300 termasuk 12 pemimpin dipercayai kumpulan ajaran sesat Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan dalam satu operasi di dewan sebuah sekolah di Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Syed Lot Syed Ab. Rahman dilaporkan berkata, operasi yang dijalankan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan PDRM adalah hasil aduan awam berhubung aktiviti dipercayai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Beliau dilaporkan berkata, dalam serbuan itu, beberapa barangan dipercayai berkaitan dengan ajaran tersebut turut dirampas.
“Antara barang dirampas ialah 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi JAQ, kira-kira 200 buah buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut, selain dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan ini,” katanya. – UTUSAN










