Rodtang gegar Muay Thai LAGA

Rodtang gegar Muay Thai LAGA

TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tiga dari kiri) bersama Rodtang Jitmuangnon (dua dari kiri) merasmikan Pertandingan Muay Thai LAGA Pandan MADANI 2026 yang berlangsung di Kompleks Muhibah, Taman Nirwana, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Kehadiran bintang Muay Thai Thailand, Rodtang Jitmuangnon menyuntik bahang berbeza pada Pertandingan Muay Thai LAGA Pandan MADANI 2026 yang berlangsung di Kompleks Muhibah, Taman Nirwana, di sini, semalam.

Bekas juara dunia Muay Thai Flyweight ONE Championship itu menjadi tumpuan peminat yang hadir menyaksikan tujuh pertarungan, termasuk aksi kemuncak kategori 58 kilogram antara Faris Putra dan Wan Quyym bagi merebut Tali Pinggang Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kejohanan anjuran Hallo Fight Lab itu dirasmikan Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sekali gus menggabungkan aksi sukan tempur dengan usaha memperkukuh pembangunan Muay Thai dalam negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kehadiran Rodtang yang turut pernah bergelar juara Stadium Omnoi dan juara MAX Muay Thai bukan sekadar memeriahkan gelanggang, malah menjadi sumber inspirasi kepada petarung muda tempatan yang memasang impian menembusi pentas antarabangsa.

Penganjur utama, Fairul Ezly Ramli berkata, edisi kali ini tampil dengan beberapa kelainan menerusi kehadiran bintang antarabangsa itu, selain penambahbaikan aspek teknikal dan pengurusan kejohanan.

“Kami amat berbangga kerana kejohanan kali ini menampilkan kelainan ketara dengan kehadiran bintang dunia Rodtang serta perasmian oleh Tengku Zafrul, selain pelancaran agenda komuniti Sahabat Madani Selangor.

“Segala penambahbaikan dari aspek teknikal dan pengurusan dilakukan bagi memastikan kepuasan maksimum penonton, malah kemasukan adalah percuma untuk membolehkan masyarakat mendekati sukan ini,” katanya.

Selain aksi petarung lelaki, kejohanan itu turut menampilkan penyertaan seorang atlet wanita yang mencerminkan perkembangan penyertaan golongan berkenaan dalam arena sukan tempur tanah air.

Penganjuran berkenaan turut menyaksikan pelancaran inisiatif Sahabat Madani Selangor sebagai platform memperluas semangat kesukarelawanan, kebersamaan dan penglibatan golongan muda dalam aktiviti komuniti yang sihat.

Komitmen Hallo Fight Lab menerusi siri kejohanan itu diharap dapat menyediakan laluan pembangunan kepada atlet tempatan serta mengukuhkan ekosistem Muay Thai agar lebih kompetitif dan dekat dengan peminat sukan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini