Hans Isaac tanding kerana mahu bantu rakyat - Utusan Malaysia

Hans Isaac tanding kerana mahu bantu rakyat

pemilihan PKR
HANS ISAAC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bakal bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Ampang bagi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan ini, bekas pelakon dan usahawan Datuk Hans Isaac yakin dapat memberi saingan hebat buat pencabarnya yang juga penyanyi rap, Altimet.

Kata pelakon dan pengarah filem, dia dan Altimet masing-masing mempunyai kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk memperkasakan parti dan penduduk Ampang secara amnya.

“Semua calon ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ia berbalik kepada sumbangan setiap calon kepada penduduk di daerah ini. Saya tidak merancang untuk bertanding. Secara dasar hanya mahu membantu akar umbi memperkasa parti.

“Seperti rakyat Malaysia yang lain, penduduk Ampang juga teruk terkesan lebih-lebih lagi ketika pandemik. Kami, dengan dana peribadi, membantu mereka yang terkesan. Tiada penglibatan mana-mana hartawan mahupun syarikat korporat yang lain.

“Bukan jawatan yang saya kejar. Tetapi yang penting khidmat untuk rakyat. Saya bukan ahli politik. Hanya kelompok akar umbi yang mahu membantu masyarakat,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Disoal tentang Altimet, Hans menyifatkan penyanyi rap tersebut sebagai seorang calon yang berkredibiliti dan kenalan yang baik.

“Saya akui memang terkejut, pada saat-saat akhir dia muncul bertanding. Kami memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tentunya, Altimet memiliki kelompok yang menyokongnya di belakang.

“Kalau saya diberi mandat untuk menjadi ketua cabang PKR Ampang, kenapa tidak saya pelawa dia untuk bersama saya. Tiada istilah dia lawan saya atau saya lawan dia.

“Kami berjuang dalam parti yang sama. Bergerak ke arah hala tuju yang sama untuk rakyat dan penduduk Ampang. Walau apa pun kami tetap akan bekerjasama memperkasakan parti,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN