PETALING JAYA: Dua kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Ampang Indah, Ampang susulan hujan lebat yang melanda sekitar Lembah Klang petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kedua-dua kejadian itu berlaku dalam tempoh kurang 20 minit.
Beliau berkata, laporan pertama diterima pada pukul 3.35 petang membabitkan runtuhan tanah lereng bukit berkeluasan kira-kira 20×20 kaki di belakang sebuah rumah di Lot 1757, Jalan Indah 4.
Katanya, insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa dan tidak menjejaskan struktur kediaman berhampiran.
“Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang tiba di lokasi pada pukul 3.41 petang dan operasi dikawal pada pukul 3.45 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, laporan kedua pula diterima pada pukul 3.51 petang membabitkan runtuhan tebing di Lot 1777, Jalan Indah 4 sehingga menyebabkan sebuah van mengalami kerosakan.
“Runtuhan berkeluasan kira-kira 15×20 kaki itu menghempap sebuah van jenis Ford. Insiden itu juga tiada membabitkan mangsa.
“Jentera dari BBP Ampang tiba di lokasi pada pukul 3.53 petang dan operasi berjaya dikawal pada pukul 3.58 petang sebelum tamat sepenuhnya pada 4.45 petang,” katanya. – UTUSAN










