Parlimen Ampang paling sesuai untuk Tengku Zafrul

Parlimen Ampang paling sesuai untuk Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berpotensi besar bertanding di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Ia sebagai langkah me­ngukuh­kan kedudukan beliau ekoran tempoh se­natornya serta jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan tamat pada Disember ini.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, beliau melihat kewajaran untuk Tengku Zafrul mula menyusun strategi di Parlimen Ampang untuk menghadapi PRU16 bagi mengukuhkan kedudukannya dalam parti.

Beliau berpendapat, tidak sukar untuk Tengku Zafrul menang di kawasan Ampang memandang­kan ia merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

“Saya fikir Tengku Zafrul akan bertanding dalam PRU16 akan datang kemungkinan besar di Parlimen Ampang bagi menggantikan Rodziah (Ismail) yang dianggap rapat dengan ‘team’ (Datuk Seri) Rafizi Ramli.

“Saya berpendapat beliau perlu menyusun segera strategi di Ampang dengan melawat penduduk dan kawasan meng­adakan program agar boleh diterima di kawasan parlimen tersebut.

“Saya fikir sebagai tokoh terkenal, tidak sukar untuk beliau menang kerana Ampang adalah sebuah kawasan bandar yang gemar kepada tokoh yang kuat bekerja seperti Tengku Zafrul,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan status Tengku Zafrul menjadi tanda tanya apabila tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir Disember tahun ini dan tidak akan lagi memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau mendedahkan akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hala tuju dan peranannya dalam karier politik mendepani PRU16.

Sementara itu, Mazlan berkata, kredibiliti ditonjolkan Tengku Zafrul ketika memegang beberapa portfolio dalam Kabinet menjadi ‘bonus’ untuk beliau memenangi hati peng­undi.

Tambahnya, selagi mendapat ‘restu’ Anwar, Tengku Zafrul juga tidak sukar untuk bertahan dalam PKR.

“Harus diingat, kemenangan PH di Ampang bukan kerana PKR semata-mata tetapi kawasan ini majoritinya pengundi bandar yang tidak berparti.

“Mereka (pengundi) menyokong PH yang dilihat lebih progresif dan polisi lebih adil terutama di mata pengundi bukan Melayu yang menjadi sebahagian besar dari pengundi Ampang,” katanya.

Mengulas mengenai pengganti bagi portfolio ditinggalkan Tengku Zafrul kelak, Dr. Mazlan berkata, kementerian tersebut memerlukan individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang korporat atau sekurang-kurangnya berpengetahuan luas dengan dunia kewangan dan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×