Tanah runtuh di Kampung Bukit Sungai Putih

Tanah runtuh di Kampung Bukit Sungai Putih

KEADAAN tanah runtuh di Kampung Bukit Sungai Putih, Ampang yang berlaku berdekatan sebuah rumah dekat sini, petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penghuni sebuah rumah di Kampung Bukit Sungai Putih, Ampang dekat sini diarah keluar oleh pihak berkuasa selepas berlaku runtuhan tanah berhampiran kediaman itu petang tadi.

Panggilan kecemasan diterima pasukan penyelamat pada pukul 2.17 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira lima minit kemudian.

“Komander operasi melaporkan terdapat runtuhan tanah dengan jarak kira-kira empat meter dari kawasan rumah terbabit.

“Kesemua penghuni rumah diarahkan keluar sebagai langkah keselamatan dan anggota turut menjalankan pemantauan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada sebarang bahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bomba turut memaklumkan kejadian itu kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Hasrolnizam Shaari meninjau kejadian pergerakan tanah di kawasan berkenaan.

MPAJ dalam kenyataan memaklumkan, Hasrolnizam ke lokasi kira-kira pukul 6 petang bagi mendapatkan maklumat lanjut serta meninjau keadaan semasa.

“Skuad Pantas MPAJ turut hadir sejurus menerima laporan untuk melaksanakan tindakan awal dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN