RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menangguhkan pilihan raya perundangan yang dijadualkan berlangsung bulan depan kepada 11 September 2027 selain menetapkan pilihan raya presiden pada tarikh sama, dengan menyalahkan Israel dan keadaan keselamatan sebagai punca penangguhan itu.
Dekri Abbas menyebut halangan berpunca daripada tindakan Israel serta keperluan mewujudkan keadaan politik, keselamatan dan situasi di lapangan yang sesuai bagi memastikan pilihan raya yang bebas, adil dan inklusif, menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Dekri berkenaan menyatakan serangan tentera Israel, peluasan penempatan, keganasan peneroka dan sekatan pergerakan di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, selain tindakan Israel yang terus menahan hasil kutipan cukai milik Palestin menimbulkan cabaran terhadap persiapan dan pelaksanaan pilihan raya pada November ini.
Ia turut menekankan keadaan keselamatan dan kemanusiaan yang luar biasa di Gaza melibatkan pengunduran tentera Israel yang belum selesai, ketiadaan kemajuan dalam usaha pembinaan semula serta kegagalan melaksanakan aturan bagi penempatan pasukan penstabilan antarabangsa dan polis di wilayah itu.
Menurut dekri berkenaan, sekatan Israel terhadap akses kakitangan suruhanjaya pilihan raya dan pemerhati antarabangsa ke Gaza serta Baitulmuqaddis Timur turut menyukarkan persiapan.
Keputusan penangguhan itu dibuat selepas rundingan dengan puak dan kumpulan politik Palestin. Ia juga bertujuan memberi masa bagi mengadakan dialog nasional Palestin secara menyeluruh untuk mengukuhkan perpaduan dan menangani cabaran dalam proses pilihan raya.
Dua pegawai Palestin memberitahu Reuters pada Khamis, pemimpin gerakan Fatah pimpinan Mahmoud dan Hamas bersetuju menangguhkan pilihan raya dalam satu pertemuan di Kaherah pada Rabu.
Tinjauan pada Ogos oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Tinjauan Palestin (PSR) yang berpangkalan di Tebing Barat menunjukkan sokongan terhadap Hamas dan Fatah semakin merosot.
Ramai rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat didakwa menyalahkan kumpulan itu kerana perpecahan politik yang berterusan.
Penangguhan itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Mahmoud mengulangi komitmen untuk mengadakan pilihan raya pada November dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 September, ketika beliau berusaha melaksanakan pembaharuan yang disokong masyarakat antarabangsa.
Beliau sebelum ini memberikan komitmen bertulis kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman untuk mengadakan pilihan raya presiden dan perundangan sebagai sebahagian daripada langkah Paris mengiktiraf negara Palestin pada September 2025.
Kementerian Luar Perancis pada Khamis berkata, pilihan raya itu penting dan menyambut baik pelancaran misi pemerhati pilihan raya Kesatuan Eropah (EU).
Dalam hantaran di platform X, Menteri Luar Israel, Gideon Saar menolak kenyataan Mahmoud dengan menyifatkannya sebagai satu lagi pembohongan tidak masuk akal yang direka untuk mengelak tanggungjawab dan akauntabiliti, sambil mengingatkan pilihan raya Palestin terakhir diadakan kira-kira dua dekad lalu.
Pada April lalu, Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan di Tebing Barat dan Deir al-Balah di tengah Gaza, satu-satunya bandar di wilayah itu yang mengambil bahagian. Pilihan raya itu merupakan yang pertama diadakan di Gaza sejak 2006.











