PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2024 berakhir Sabtu lalu mungkin bukan yang terhebat dalam sejarah parti berusia 78 tahun itu, namun ia meletakkan satu batu asas baharu.
Ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kali agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ucapan yang bertajuk Mendepani Dinamika Politik tidak membangkitkan semangat kepahlawanan tetapi membentangkan falsafah politik dan masa depan parti dalam era baharu.
Bermula ucapan dengan mesej tawaduk meraikan kejayaan ketika merefleksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Ahmad Zahid jelas mahu perwakilan UMNO memahami realiti politik semasa.
Ahmad Zahid mengingatkan perwakilan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu bahawa tiada parti yang dominan. Kesemuanya hanya memenangani antara 30 hingga 40 kerusi Parlimen dan menyebabkan perundingan selain ikatan politik baharu perlu dibentuk.
“Perkongsian kuasa membentuk kerajaan campuran bukanlah fenomena baharu di pentas politik dunia. Malah, lebih 70 negara seperti Jerman, Itali, Perancis, Belanda telah menerima pakai model tadbir urus ini sebagai cara untuk memandu landskap politik yang kompleks,” ucap Ahmad Zahid, Jumaat lalu.
Ucapan ini bertujuan memberi ingatan dan panduan kepada perwakilan UMNO dan semua ahli realiti politik semasa ini bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di kebanyakan negara lain di dunia.
Sistem pemerintahan yang berasaskan Westminster dan perwakilan Dewan Rakyat sedang berhadapan ketidaktentuan politik ideologi.
Jarang-jarang parti politik mendominasi kerusi pilihan raya, justeru mahu tidak mahu parti politik yang berbeza ideologi, malah yang berseteru, perlu membentuk pakatan bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU.
Presiden UMNO turut menekankan kerajaan campuran dibentuk apabila tiada satu parti pun, mendapat majoriti di Parlimen dan memerlukan kerjasama rentas parti untuk mewujudkan sebuah kerajaan.
Perkongsian kuasa ini lazimnya memerlukan kompromi terhadap idealisme, agenda atau prinsip perjuangan sesebuah parti.
Pada saya, asas ucapan ini adalah mencerahkan salah faham dan kekeliruan dalam parti mengenai kehadiran UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai oleh seteru politik sebelum ini.
Mesej dan arahan jelas Presiden ialah kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) jangan lagi terus menjadi polemik dalaman dan menyebabkan ia seperti duri dalam daging kerana soal Kerajaan Perpaduan adalah persefahaman pasca PRU15 selepas tiada pemenang mutlak dalam pilihan raya.
Dengan mempasakkan realiti politik semasa, ahli parti perlu memahami Presiden memberi gambaran jelas perencanaan untuk bergerak solo dalam PRU akan datang bukan lagi satu keutamaan.
Dinamika politik diterus dengan mantra UMNO boleh berkawan dengan sesiapa sahaja namun mesti menjaga keindukkan Islam. Ini mesej jelas kepada rakan kongsi UMNO.
Mesej jelas juga ditujukan kepada aktivis parti bahawa UMNO mesti kekal sederhana. Mungkin mengubah kepada ‘kanan’ yang sederhana. Ini juga memberi bayangan kawan politik UMNO juga perlu menjadi sederhana.
Apa yang menarik di sebalik ingatan dan pasakan ucapan mengenai trend ketiadaan parti yang berupaya mendominasi kerusi dalam PRU akan berterusan pada masa akan datang, Ahmad Zahid tetap mahu ahli UMNO keluar dari zon selesa dan cuba kembali menjadi parti dominasi.
Berbanding keghairahan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh yang mahu BN menang dua per tiga, Ahmad Zahid lebih realistik dan berstrategik dalam merumus formula menjadi parti yang memimpin semula.
Presiden UMNO itu menggariskan empat prinsip untuk menjadi parti dominan dalam neraca politik baharu iaitu mesti dominan daripada segi bilangan kerusi, kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian, ideologi perjuangan iaitu mempertahankan keindukan Islam dan Melayu dan bumiputera serta menawarkan dasar-dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat mahupun kemakmuran negara.
Seiring dengan falsafah BN tidak akan bergerak solo dalam PRU akan datang, Ahmad Zahid menggariskan tiga rukun politik sebagai panduan ahli dan pemimpin parti.
Pertamanya, BN akan menetapkan sasaran penguasaan kerusi Parlimen yang lebih realistik bagi memastikan ia menjadi sebahagian parti yang membentuk kerajaan.
Saya fikir UMNO dan BN akan cuba mempertahankan 30 kerusi sekarang dan menambah sekitar 20 hingga 30 kerusi lagi dengan kerjasama politik lain.
Ini satu sasaran yang realistik dan boleh dicapai bergantung kepada siapa rakan strategik BN dalam PRU akan datang.
Dari ucapan Presiden jelas kerjasama akan diadakan dengan PH. Justeru itu, UMNO perlu mengenal pasti kerusi-kerusi yang mampu ditawan dari Perikatan Nasional (PN) dan tidak membazirkan sumber dengan bertanding terlalu banyak kerusi namun hasilnya tidak seberapa.
Rukun kedua politik ialah membuka pilihan untuk bekerjasama dengan jajaran politik yang menerima keindukan Islam dan Melayu sebagai teras.
Ini sangat menarik untuk diperhatikan. Ia seolah-olah syarat tersirat Ahmad Zahid kepada PH untuk meneruskan kerjasama ini, keindukan Islam dan Melayu yang menjadi teras perjuangan UMNO harus dipertahankan dan tidak diperlekehkan.
Ia juga membuka ruang dan peluang UMNO bekerjasama dengan PN sekiranya, PH melepasi garis sempadan kritikal yang ditetapkan.
Dengan kata lain, dalam keadaan Ahmad Zahid membawa UMNO ke arah PH, ia memberi ingatan jelas kerjasama itu bukanlah ‘a blanket decision’ yang boleh disalah guna sesuka hati.
Rukun ketiga ialah memastikan politik sederhana dengan mengambil jalan tengah sebagai model kesepakatan yang berupaya memelihara kestabilan negara.
AMBIL JALAN SEIRINGAN
Ini adalah satu panduan dan arahan kepada ahli dan kepimpinan UMNO agar tidak mengambil jalan bertentangan sehingga merosakkan kerjasama dalam kerajaan sekarang.
Ucapan dasar Ahmad Zahid turut menyentuh mengenai induk perjuangan UMNO ialah Islam dan bumiputera.
Hampir 30 para ucapan berkisar mengenai sumbangan dan perjuangan UMNO dalam mengukuhkan pendidikan Islam dan pembangunan ekonomi bumiputera sepanjang lebih 20 bulan dalam kerajaan.
Ia adalah bukti UMNO tidak berkompromi dalam mempertahankan agenda politiknya dalam Kerajaan Perpaduan yang dimomokkan tanpa roh Melayu dan Islam.
Tugas para perwakilan untuk meyakinkan ahli dan masyarakat bumiputera di luar sana bahawa agenda bumiputera dan Islam dalam kerajaan hari ini tetap kukuh dengan adanya UMNO di dalamnya.-UTUSAN
DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Penasihat SLR Institute, Pusat Kajian Propaganda dan Penjenamaan Politik.










