Jadikan Rukun Tetangga barisan hadapan tangani ancaman rogol, bunuh

Jadikan Rukun Tetangga barisan hadapan tangani ancaman rogol, bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peranan Rukun Tetangga (RT) perlu dipertingkatkan menjadi barisan hadapan terutama di taman-taman perumahan bagi menangani jenayah khususnya melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak.

Ketua Penerangan Puteri UMNO Johor, Nur Syareeza Abdullah berkata, RT boleh digerakkan menjadi mata dan telinga di sesebuah kawasan komuniti dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.

“Selain RT, kerajaan disaran memperkasa peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani ancaman jenayah rogol dan bunuh.

“Peranan RT boleh diperluas sebagai petugas barisan hadapan dalam mengenal pasti dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dalam komuniti. 

“PDRM pula perlu meningkatkan rondaan dengan lebih kerap dan efektif,” katanya ketika membahaskan Usul Keselamatan Wanita dan Kanak-kanak pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ayer Hitam berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan integrasi teknologi canggih dengan mengambil contoh negara luar  meletakkan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) secara meluas di kawasan berisiko tinggi.

“Selain itu, kita juga perlu meneliti semula peranan media dan komunikasi dalam memastikan keselamatan rakyat. Oleh itu, kita perlu mengambil peluang ini dengan menggunakan platform media sosial untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Selain itu, kita mencadangkan orang ramai tidak mempamerkan penjejakan secara langsung (live tracking) di aplikasi Instagram yang boleh mengundang kepada jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak.

“Namun begitu, kita boleh memperkenalkan sistem penjejakan berlesen yang hanya boleh diakses oleh ahli keluarga terdekat bagi memantau keselamatan orang tersayang,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×