PETALING JAYA: PKR dikatakan menjadi penghalang kepada jalinan kerjasama antara Parti Warisan (Warisan) dan UMNO di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun hadapan.
Jika perkara itu berlaku, Warisan mungkin terpaksa melupakan impiannya mahu bekerjasama dengan UMNO untuk menumbangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menerajui kerajaan negeri.
Sumber Warisan memberitahu, parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu dianggap sebagai ‘bermuka-muka’ setiap kali bertemu Warisan, ketika parti itu juga mempunyai hubungan ‘amat baik’ dengan UMNO di peringkat Persekutuan.
Kata sumber, keadaan tersebut kemungkinan besar mendorong PKR mempengaruhi keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan parti pimpinan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Buktinya, kata sumber, semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Himpunan Perdana Rakyat di Kota Kinabalu, awal bulan ini, parti politik diundang hanya melibatkan UMNO dan meminggirkan Warisan.
“Mengapa tidak melibatkan Warisan dalam program itu? Jika benar mereka baik dengan Warisan, secara logik kami melalui presiden diundang.
“Tetapi, Shafie pula berada di kawasan Parlimennya di Semporna. Mengapa penganjur tidak jemput beliau? Sebab itu kami menganggap parti itu boleh menjadi penghalang kerjasama Warisan dan UMNO,” kata sumber kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada Disember tahun lalu semasa Perhimpunan Agung Tahunan Warisan, Mohd. Shafie mengumumkan partinya akan berganding dengan UMNO Sabah bagi menghadapi PRN dan dipersetujui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pada Mac lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, Bung Moktar berkata, kerjasama UMNO Sabah dan Warisan pada PRN hampir pasti selepas pemimpin parti berbincang beberapa kali.
Bagaimanapun, katanya, keputusan mengenai kerjasama itu akan diumumkan menerusi kenyataan rasmi sebaik sahaja pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mohd. Shafie pada masa sama juga mengesahkan perbincangan diadakan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Bung Moktar, namun tiada keputusan rasmi dibuat setakat ini.
Penggal DUN Sabah hanya akan luput pada 2025, namun menjadi kelaziman untuk DUN dibubar lebih awal.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini membayangkan PRN Sabah akan diadakan lebih awal sebelum tahun hadapan. – UTUSAN









