Warisan tawar kerajaan bebas rasuah, fokus keperluan asas - Utusan Malaysia

Warisan tawar kerajaan bebas rasuah, fokus keperluan asas

SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SEBAGAI parti yang pernah menjadi kerajaan negeri Sabah, Parti Warisan (Warisan) masih menaruh keyakinan tinggi untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tanpa kerjasama parti lain.

Presiden Warisan, DATUK SERI MOHD. SHAFIE APDAL berkata, slogan ‘Selamatkan Sabah’ bertujuan membebaskan negeri daripada amalan rasuah yang menjadi punca utama masalah air, jalan raya dan elektrik belum selesai.

Ketika wawancara bersama Mingguan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, ASLINDA NASIR dan HAFIZ SAIDINA disertai jurufoto, AMIR KHALID dan juruvideo, ZUID SAMSON, calon Warisan kerusi DUN Senallang juga bercakap soal Perjanjian Malaysia 1963 dan 40 peratus hasil Sabah.

MINGGUAN Malaysia: Keyakinan Warisan dalam PRN Sabah.
MOHD. SHAFIE: Alhamdulillah semua positif menerusi siri jelajah ke banyak kawasan, sambutan rakyat terus meningkat. Namun begitu, kita tidak boleh terlalu selesa dengan jentera dan calon Warisan perlu bekerja kuat supaya kempen sampai kepada pengundi.

Jika ada penjelasan, ia perlu dilakukan kepada rakyat kerana kita tahu dan sedar, dalam media sosial yang ada kini ada berbagai yang kadang-kadang kemungkinan diputarbelitkan.

Mengapa Warisan bertanding 73 kerusi?
Kalau Johor boleh ditadbir oleh UMNO, kalau Kelantan boleh ditadbir oleh Pas, kalau di Sarawak ditadbir oleh Parti Sarawak, mengapa di Sabah pula tidak boleh? Ini kerana kami tahu hala tuju ke mana Sabah hendak dibawa mengikut selera sendiri.

Tetapi ini tidak, sudah merdeka 60 tahun lebih, tapi sekolah masih berpapan di Sabah. Ada sekolah yang tidak ada tandas, sedangkan berbilion duit ada.

Salahkah kita bersuara? Kita mahu menyatukan semua 73 kerusi demi keperluan rakyat, bukannya dengan parti. Kalau dengan parti, dia mahu kerusi, jadi menteri, projek.

Komen berkenaan slogan ‘Selamatkan Sabah’.
Ia adalah bebas rasuah sebab Sabah masih tiada air, jalan berlubang, sekolah berpapan.

Ubat pun tidak banyak, jadi kita akan buat kilang ubat. Kalau di Melaka ada kilang ubat, kalau di Negeri Sembilan ada 300 kilang, kenapa di Sabah tidak boleh?

Kalau kita buat kilang, harga ubat jauh lebih murah, jadi orang kampung boleh akses. Bayangkan, paling banyak di Sabah ini penyakit buah pinggang. Sebabnya, air tidak sihat diminum.

Cara urus isu Perjanjian Malaysia (MA1963) dan hasil 40 peratus.
Dari dulu, sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri, kita minta supaya buat rundingan, tunaikan perjanjian. Salahkah kita minta apa disebut dalam Perlembagaan?

Tapi mereka kata ‘Kami sudah bina sekolah, kami sudah bina balai polis.’ Di negeri lain pun ada. Sebaliknya, Perkara 112C dan 112D itu lain, kerana cuma satu tempat saja di bumi Malaysia yang mempunyai hak 40 peratus iaitu Sabah, Sarawak tidak ada. Mana mungkin Sabah setuju membentuk Malaysia kalau tidak ada ikatan ini.

Boleh ulas lebih lanjut 40 peratus hasil?
Kita minta tunai. Tahun depan Belanjawan RM470 bilion, ada pula duit. Tapi ke mana duitnya untuk Sabah? Jadi, duit yang kita minta, namun tidak apa, bagi kuasa kepada kita dulu.

Yakinkah tiada wakil rakyat Warisan melompat kalau bentuk kerajaan?
Kita sudah putuskan, kalau mereka melompat, saya tahu hendak buat macam mana. Mereka akan jatuh bankrap.

Apa pilihan jika tiada parti dapat tubuh kerajaan?
Saya yakin menang sebab kita tidak boleh fikir (kalah) kerana bagi kita yakin boleh memerintah, tapi kita kena kerja kuat.

Mengapa perlu pilih Warisan berbanding parti lain?
Boleh nampak semasa kita perintah 20 bulan lebih, dua tahun saja.

Boleh nampak apa dibuat, contohnya Covid-19, kita tidak boleh laksana projek tetapi mampu selamatkan nyawa manusia. Belanja RM600 juta untuk makanan dihantar ke kampung.

Kita bagi bakul makanan kepada anak Sabah di negeri lain, beli vaksin dan pelitup muka.

Tidak cukup lagi, saya bagi duit kepada petugas barisan hadapan, Kementerian Kesihatan RM1 juta, Kementerian Pelajaran RM1 juta, polis RM1 juta. Sabah saja yang buat, mana ada kerajaan negeri lain buat.

Apa tawaran Warisan dalam PRN Sabah?
Kita mahu kerajaan bersih. Jangan ada rasuah dari atas sampai bawah.

Keduanya, kerajaan yang kemampuan untuk mentadbir Sabah dengan baik.

Selain itu, kerajaan yang boleh dipercayai. Jangan bergantung hanya pada slogan Sabah Maju Jaya. Mesti ada keyakinan. Kalau rakyat yakin, Insya-Allah boleh.

Berapa sasaran Warisan untuk menang?
Kita serahkan kepada rakyat kerana yakin rakyat Sabah tahu mereka menegakkan hak kali ini.

Dulu Barisan Nasional tumbang atas dua isu 1MDB dan GST. Hari ini isunya air tidak ada, jalan berlubang, sekolah berpapan, tandas tiada.

Macam mana mahu selesaikan? Ubatnya macam mana? Masalah air macam mana? Kita akan wujudkan Kementerian Kesihatan bantu Kerajaan Persekutuan. Dulu pun saya sudah wujudkan, cuma tidak cukup masa, sebab ahli parlimen saya dibeli.

GRS dakwa kegagalan Sabah disebabkan Warisan. Komen?
Saya salah? Lima Perdana Menteri terlibat Pan Borneo bermula dari Datuk Seri Najib Razak sekarang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya pun bahaskan di Parlimen.

Takkan masa lima Perdana Menteri, pun semua salah saya?
Tidak ada air sebab saya Menteri Luar Bandar? Sekarang Timbalan Perdana

Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan salah dia pula?
Inilah ketidaktentuan isu dalam gelanggang politik, sehingga mereka boleh menyatakan sesuka hati bahawa ini salah saya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN