PETALING JAYA: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai seorang sahabat yang setia dan lantang memperjuangkan hak rakyat, susulan berita pemergian Pengerusi BN Sabah itu pagi tadi.
Menurutnya, keperibadian Allahyarham sebagai pemimpin yang tegas dan konsisten dalam mempertahankan kepentingan rakyat Sabah menjadi antara sebab Bung Moktar dihormati rakan politik dari pelbagai lapisan, termasuk mereka yang tidak sealiran politik dengannya.
Shafie berkata, persahabatan mereka bermula sejak awal pembabitan dalam Pemuda UMNO Sabah, ketika Bung Moktar memegang jawatan Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri pada 1995, manakala beliau sendiri ketika itu merupakan Ketua Pemuda UMNO Sabah.
“Kami berkongsi sejarah lama sejak zaman Pemuda UMNO. Beliau seorang kawan yang sangat setia serta tegas memperjuangkan hal-hal rakyat, tidak kira dalam parti atau di luar parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, hubungan itu kekal meskipun mereka melalui laluan politik berbeza, kerana Allahyarham sentiasa menghormati pandangan rakan dan tidak pernah mengetepikan kepentingan rakyat Sabah dalam apa jua perbahasan politik.
Shafie berkata, pemergian Bung Moktar merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada dunia politik Sabah, tetapi juga kepada rakan-rakan seperjuangan yang mengenalinya sebagai pemimpin berprinsip dan tidak gentar bersuara.
“Saya sangat terkesan dengan pemergian arwah. Beliau bukan sekadar tokoh politik, tetapi seorang sahabat yang dekat di hati saya,” ujarnya.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diampunkan segala dosa-dosanya,” katanya.
Terdahulu, Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di sini.
Berita sedih pemergian dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar melalui hantaran di Facebook.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi masalah kesihatan kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi semalam.
Selain ahli keluarga, pemimpin politik dan rakan kenalan beliau turut berada di hospital itu sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar lewat petang semalam.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang berakhir pada Sabtu lalu. – UTUSAN










