DHAKA: Keutamaan pertama kerajaan sementara Bangladesh adalah untuk memperbaiki undang-undang dan ketenteraman negara dengan memulihkan semangat agensi penguatkuasaan undang-undang.
Penasihat Kementerian Dalam Negeri yang baharu, Briged Jeneral M Sakhawat Hossain berkata, pentadbiran sangat prihatin mengenai laporan vandalisme dan serangan terhadap golongan minoriti, dengan beberapa laporan tersebut sedikit keterlaluan.
“Ya, memang ada masalah kerana agensi penguatkuasaan undang-undang tidak hadir.
“Mereka perlu diberi keyakinan supaya boleh kembali berfungsi,” katanya.
Pasukan polis di seluruh negara berada dalam keadaan huru-hara sejak pemimpin lama Sheikh Hasina secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan melarikan diri ke India selepas gelombang protes yang dipimpin pelajar bertukar menjadi ganas.
Kira-kira 300 orang terbunuh dan ribuan yang lain cedera sejak protes, dengan pertempuran memuncak pada Julai mendorong pasukan keselamatan berusaha mengekang ketegangan.
Banyak rumah dan perniagaan komuniti minoriti Hindu di negara itu dirosakkan minggu ini, menyebabkan ratusan daripada mereka cuba melarikan diri ke India.
Hossain berkata, pihaknya akan segera menghubungi agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memulihkan keyakinan, yang mungkin akan diikuti dengan pembaharuan.
“Selepas pergolakan yang begitu besar, hampir memecahkan seluruh rantaian, ia sudah pasti akan mengambil sedikit masa.
“Sekarang mereka sedang diserang, balai polis sedang diserang. Bagaimana mereka ini akan melaksanakan tugas mereka?,” katanya.- REUTERS










