GUA MUSANG: Pemilihan calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kali ini sukar kerana ia perlu dilakukan dengan cermat.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan sejarah berulang sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
“Kita mempunyai sejarah yang tidak baik dan calon terpilih semestinya diterima oleh semua rakyat di DUN Nenggiri. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Bersatu, dalam banyak-banyak calon, ada seorang yang memenuhi ciri-ciri, namun dia orang Pas.
“Tetapi, kerusi di Nenggiri milik Bersatu. Jadi saya kata kepada Pas, boleh bagi ke Mohd. Rizwadi (Ismail) kepada kami dan jadi ahli Bersatu yang masa perkara itu dipersetujui.
“Maka Mohd. Rizwadi diumumkan sebagai calon Bersatu mewakili PN,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Terah, di sini, semalam.
Radzi berkata, Mohd. Rizwadi dianggap calon terbaik yang cukup pakej dan mampu memikat hati pengundi.
Katanya, dalam dakwah dan kerja kemasyarakatan, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu lebih hebat jika dibandingkan dengan pihak lawan.
“DUN Nenggiri ibarat seperti Perlis dan sudah tentu kita memerlukan calon yang terbaik dari segi usia, keupayaan, kekuatan mental dan penerimaan rakyat,” katanya. – UTUSAN










