PETALING JAYA: Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis disahkan kosong secara sah dari sudut undang-undang walaupun pilihan raya kecil (PRK) tidak akan diadakan bagi mengisi kekosongan berkenaan.
Perkara itu susulan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri yang menarik balik laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengarahkan PRK diadakan melibatkan tiga kerusi tersebut.
Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Mazlan Ali berkata, tindakan Speaker itu selari dengan peruntukan perlembagaan kerana tempoh penggal DUN telah melepasi tiga tahun, sekali gus memberikan budi bicara kepada Speaker untuk memutuskan sama ada PRK perlu diadakan atau sebaliknya.
Menurut beliau, sekiranya Speaker berpandangan PRK perlu diadakan, SPR wajib menimbang dan melaksanakannya, namun dalam situasi semasa, Speaker memutuskan PRK tidak perlu dijalankan.
“Walaupun PRK tidak diadakan, kekosongan kerusi itu tetap sah kerana ketiga-tiga ADUN berkenaan telah hilang kelayakan dari sudut undang-undang,” katanya.
Mazlan berkata, perkara itu selaras dengan Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis yang dipinda pada 2022, yang memperuntukkan kehilangan kerusi secara automatik apabila memenuhi syarat tertentu.
Tambah beliau, PAS juga telah meminda perlembagaannya melalui Fasal 15A, menyebabkan ketiga-tiga ADUN parti itu secara sah kehilangan kedudukan sebagai wakil rakyat.
Sehubungan itu, katanya, meskipun tiada PRK diadakan, ketiga-tiga kerusi DUN berkenaan kekal kosong secara sah sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri. – UTUSAN










