DUN Perlis lulus usul pemberatan hukuman pesalah pemandu mabuk - Utusan Malaysia

DUN Perlis lulus usul pemberatan hukuman pesalah pemandu mabuk

SIDANG DUN Perlis meluluskan usul pemberatan hukuman mandatori dan pemerkasaan penguatkuasaan terhadap pesalah pemandu di bawah pengaruh alkohol di negeri ini. -UTUSAN/ADIB AKHYAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan usul pemberatan hukuman mandatori dan pemerkasaan penguatkuasaan terhadap pesalah pemandu di bawah pengaruh alkohol di negeri ini.

Usul dibentang Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak itu mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Wan Zikri berkata, beliau mengemukakan usul itu untuk mendesak satu tindakan bersepadu antara agensi negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh mekanisme pencegahan serta hukuman terhadap pemandu mabuk demi menjamin keselamatan nyawa, terutamanya rakyat di negeri ini.

“Saya ingin menegaskan dari awal lagi di dalam dewan yang mulia ini, bahawa usul ini adalah bersifat umum, inklusif dan tidak sesekali menyasarkan mana-mana agama, kaum atau golongan tertentu.

“Usul tersebut menumpukan sepenuhnya kepada aspek keselamatan awam, keadilan sosial dan tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya,” katanya semasa membentangkan usul tersebut dalam sidang DUN Perlis hari ini.

Wan Zikri berkata, berikutan itu, beliau mencadangkan beberapa tindakan drastik yang perlu diambil bersama antaranya memfailkan syor rasmi kepada Kementerian Pengangkutan agar mempertimbangkan semula pindaan undang-undang bagi memperketatkan hukuman terhadap pesalah pemandu di bawah pengaruh alkohol (DUI) yang menyebabkan kematian, termasuk hukuman tambahan yang bersifat punitif bagi meningkatkan kesan pencegahan.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya juga mendesak supaya tempoh penggantungan atau pembatalan lesen memandu dipanjangkan secara signifikan bagi kesalahan serius agar jalan raya bebas daripada ancaman pemandu berulang.

“Usul ini turut mencadangkan pelaksanaan operasi bersepadu yang lebih berfokus dan berintensiti tinggi melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) khususnya di zon-zon berisiko tinggi pada waktu puncak hujung minggu atau musim perayaan.

“Kita tidak boleh lagi menguruskan operasi secara rawak. Pihak berkuasa tempatan (PBT) wajib menggunakan analisis data kemalangan dan tangkapan bagi mengenal pasti kawasan hotspot untuk tindakan penguatkuasaan yang lebih taktikal,” katanya.

Ujar Wan Zikri, usul itu turut mencadangkan PBT mengetatkan syarat lesen premis yang menjual minuman beralkohol termasuk mengambil langkah pencegahan undang-undang terhadap tindakan melayan pelanggan melampaui had atau over serving.

Katanya, PBT mempunyai kuasa mutlak ke atas lesen perniagaan dan mana-mana premis yang membiarkan pelanggan mereka mabuk sehingga memandu kenderaan wajib berhadapan dengan tindakan pembatalan lesen perniagaan serta merta.

“Usul ini bukan sekadar untuk menghukum pesalah, tetapi untuk memastikan tiada lagi nyawa terutamanya rakyat Perlis yang terkorban sia-sia akibat kecuaian boleh dielakkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN