KANGAR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang ditangguhkan sebelum ini bakal berlangsung pada 3 hingga 5 Jun depan.
Perkembangan itu diumumkan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dalam sidang akhbar bersama Speaker DUN, Rus’sele Eizan di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.
Abu Bakar berkata, persidangan DUN sebelum ini bukannya ditangguhkan namun pelaksanaan dipinda ke satu tarikh baharu bagi membolehkan persediaan sewajarnya dilakukan oleh kerajaan negeri.
“Macam saya umumkan, saya ini baru tiga bulan lebih jadi Menteri Besar, dan kebetulan Setiausaha Kerajaan Negeri juga baharu.
“Dalam masa sama, kita sedang rangka hala tuju kepimpinan dari segi penubuhan jawatankuasa peneraju atau Jawatankuasa Perancangan Perlis Maju di mana saya akan umumkan semasa sesi penggulunggan nanti,” katanya.
Sebelum ini, enam wakil rakyat dari Pas menuntut penjelasan daripada Abu Bakar berhubung penangguhan sidang DUN Perlis yang disifatkan mereka tidak pernah berlaku sebelum ini.
Desakan tersebut diketuai Mohd. Shukri Ramli (Sanglang) bersama lima yang lain iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).
Abu Bakar sebelum ini turut menafikan penangguhan sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 sehingga 23 April lalu adalah disebabkan beliau takut digulingkan.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu menekankan bahawa keputusan menangguhkan sidang tersebut bukan berada di bawah kuasa mutlak Menteri Besar sebaliknya dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.
Abu Bakar berkata, fokus bagi merangka hala tuju jawatankuasa tersebut juga mengambil sedikit masa dan memerlukan kepada pindaan tarikh tersebut.
“Dengan tarikh baharu ini, persiapan untuk tetapkan hala tuju pembangunan ekonomi Perlis yang akan diumumkan nanti,” katanya.-UTUSAN










