PETALING JAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel terhadap kem pelarian al-Mawasi yang merupakan zon selamat yang ditetapkan oleh rejim Zionis itu sendiri kepada rakyat Palestin.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) berkata, kekejaman dilakukan rejim Zionis itu mengorbankan nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak selain mencederakan ratusan lagi.
“Serangan yang keji dan tidak berperikemanusian ini berlaku di zon ‘selamat’ yang telah ditetapkan oleh Israel sendiri untuk rakyat Palestin. Ini jelas merupakan suatu pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia.
“la juga bercanggah dengan undang-undang kemanusian antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wisma Putra, Malaysia kekal dengan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan menolak sekeras-kerasnya keganasan dan kekejaman berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel.
Katanya, masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan segera dan tegas untuk mengakhiri keganasan ini selain menuntut pemimpin-pemimpin Israel untuk bertanggungjawab ke atas jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.
“Keganasan yang berterusan ini secara jelas melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024), yang menyeru untuk menghentikan segera peperangan, melindungi penduduk awam dan memberi akses bantuan kemanusian tanpa halangan di Gaza,” katanya.
Semalam, rejim Zionis melancarkan serangan udara di kem pelarian al-Mawasi di yang menyaksikan seramai 71 rakyat Palestin terkorban dengan 289 lagi mengalami kecederaan.
Rejim tanah haram itu mendakwa mensasarkan lokasi tersebut bagi menumpaskan ketua tentera Hamas, Mohammed Deif, yang didakwa dalang serangan 7 Oktober terhadap Israel. – UTUSAN










