KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri memaklumkan belum bersedia membuka mulut mengenai punca dia memuat naik kenyataan berbaur ketidakpuasan hati di Twitter baru-baru ini.
Ernie tidak menolak bahawa perkara itu ada kena-mengena dengan kerjaya seninya namun tidak merujuk kepada label Universal Music yang dinaunginya.
“Saya juga wanita biasa yang bisa sakit. Sebenarnya, hal itu sangat peribadi dan memang ada sesuatu yang telah berlaku. Cuma ada benda yang saya tak boleh cakap lagi secara terbuka.
“Saya akui, ketika memuat naik luahan itu dalam media sosial kerana tidak dapat menahan emosi. Saya rasa, nanti perkara itu akan terjawab juga, tentang apa, sudah tentu ia berkaitan dengan kerjaya seni saya.
“Cuma bukan tentang Universal Music lah. Ia adalah sesuatu yang sudah lama dipendam. Tetapi setakat itu sajalah yang saya boleh beritahu buat masa ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Selain itu, kata penyanyi lagu Ku Bersuara dan Masing-Masing ini, dia tidak kisah andainya ada pihak terutama kalangan peminat berteka-teki mengenai perkara tersebut selain memberi jaminan akan menjelaskannya pada masa sesuai.
“Biarkan dulu jika orang nak berteka-teki mengenai apa yang saya cuba maksudkan. Di akhirnya nanti orang akan tahu sendiri tentang perkara-perkara yang terjadi.
“Bila ada masa yang tepat dan sesuai, saya akan beritahu,” katanya.
Baru-baru ini, Ernie membuat satu luahan di Twitter hingga meraih pertanyaan ramai selain spekulasi pelbagai dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian tersebut, Ernie menyebut mengenai kekecewaannya menerima sebuah perkhabaran selain menyifatkan ia tidak profesional.
“Perkara ini sangat mengecewakan. Berita ini sangat mengecewakan. Ia sangat tidak profesional. Saya telah lama mengunci mulut mengenai hal ini. Sudah terlalu lama,”tulisnya. – UTUSAN











