159 petugas tukar ganti kiswah Kaabah

159 petugas tukar ganti kiswah Kaabah

PROSES penggantian kiswah Kaabah di Masjidil Haram yang bermula selepas solat fardu Isyak bersempena Tahun Baharu 1446 Hijrah semalam. – UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Selepas 47 hari bahagian bawah kiswah atau kelambu Kaabah di Masjidil Haram dinaikkan 2.5 meter, kain lama itu diganti pada malam Tahun Baharu 1446 Hijrah.

Seramai 159 juruteknik dan tukang kraf bertugas lebih empat jam bagi menukar kiswah dengan sekeliling Kaabah dipasang penghadang bagi mengelak kainnya disentuh jemaah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, proses rumit tersebut bermula sejurus habis solat fardu Isyak pada pukul 9 malam Sabtu (kira-kira 2 pagi Ahad waktu Malaysia).

Ratusan ribu jemaah pelbagai negara tidak melepaskan pe­luang merakamkan detik bersejarah dengan puluhan anggota keselamatan pula dikerahkan mengawal keadaan.

Ini terutama apabila kiswah baharu dinaik bagi menutup yang sedia ada sebelum kelambu lama itu dijatuhkan dengan ramai jemaah berhenti tawaf seketika untuk menyaksikannya.
Di luar Masjidil Haram, jemaah menonton peristiwa ber­kenaan yang dipancarkan secara langsung stesen televisyen tempatan menerusi skrin gerga­si dekat Menara Jam.

Sebelum acara tahunan itu dilakukan, bahagian bawah kiswah berkenaan ditutup de­ngan kain putih sepanjang 54 meter mengelilingi Kaabah oleh 36 juruteknik pada 22 Mei lalu.

Langkah berkenaan juga sebagai tanda simbolik permulaan musim haji 1445 Hijri yang me­nyaksikan sejumlah 1,833,164 jemaah datang ke sini menunaikan ibadah fardu tersebut.

Pertukaran kiswah sebelum wabak Covid-19 melanda dunia pada 2020 lalu kelazimannya dibuat pagi 9 Zulhijah ketika masjid kurang sesak kerana jemaah haji berwukuf di Arafah.
Bagaimanapun, selepas era pandemik, tradisi itu diubah kepada malam 1 Muharam yang juga membolehkan ramai jemaah menyaksikan proses unik tersebut.

Kiswah berkenaan dihasilkan lebih 200 pakar kraf di kilang khas dikenali Kompleks Raja Abdulaziz yang terletak di Umm Al-Jud, hanya kira-kira 10 kilometer dari Masjidil Haram.

Corak dan tulisannya pula diperbuat daripada 670 kilogram sutera mentah, 120 kilogram benang emas serta 100 kilogram benang perak dengan berat kiswah itu 1,300 kilogram.

Kos kelambu berkenaan yang mencecah ketinggian 14 meter itu dianggarkan bernilai lebih 20 juta riyal Saudi (kira-kira RM25 juta) dan mengambil tempoh masa siap hampir 11 bulan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×