PETALING JAYA: PRK Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos dengan penamaan calon 3 Ogos, kata Suruhanjaya pilihan Raya hari ini.
PRK itu diadakan susulan kerusi disandang Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan kosong.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun dalam kenyataan berkata, undi awal akan diadakan pada 13 Ogos.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat SPR dalam mesyuarat khas yang diadakan hari ini.
Pada 19 Jun lalu Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Abdullah, mengisytiharkan kerusi Nenggiri kosong selepas dimaklumkan Azizi bukan lagi ahli Bersatu.
Menurut Bersatu, keahlian Azizi dihentikan selepas beliau gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti dan menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Azizi memfailkan permohonan awal minggu ini untuk mencabar tindakan Bersatu menghentikan keahliannya dan kekosongan kerusi DUN Nenggiri.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi malam tadi menolak permohonannya untuk mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK itu. – UTUSAN










