SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dibaham buaya semasa mandi di sungai berhampiran Kampung Lembaga, Batu 8 Jalan Datuk Tay, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Mohd. Radhi Randi disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Severinus Nidzam Sainkui berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang kampung pada jarak 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.16 tengah hari dan sepasukan 11 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak 12 kilometer dari BBP.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didakwa dibaham buaya semasa mandi di sungai.
“Mayat mangsa ditemukan oleh orang kampung pada jarak 500 meter dari lokasi mangsa dibaham buaya. Mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- UTUSAN










