Pemilik syarikat pembekalan diesel berdepan 116 pertuduhan

Pemilik syarikat pembekalan diesel berdepan 116 pertuduhan

MOHD. Fared Ramli (kiri) semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pemilik syarikat pembekalan diesel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 116 pertuduhan gagal mengemukakan dokumen dan maklumat diperlukan berhubung pembelian diesel, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fared Ramli,36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan kira-kira 20 minit di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga 58, tertuduh selaku pemilik perniagaan sebuah syarikat iaitu pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel didakwa gagal mengemukakan maklumat berkaitan dokumen pembelian api itu untuk tujuan eksport yang dikehendaki Penolong Pengawal Bekalan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Sultan Omar, Kampung Chepa di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 18 Disember 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-59 hingga 116, Mohd. Fared didakwa gagal menyelenggara buku stok diesel yang tidak mengandungi maklumat tarikh,kuantiti, harga, nama dan alamat penjual atau pembeli bagi penjualan barang berjadual iaitu diesel untuk tujuan eksport di lokasi dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×