SEREMBAN: Membakar lemang di dalam tong dram bukanlah perkara baharu namun sejak kebekalangan ini ia sering menjadi pilihan kerana prosesnya lebih menjimatkan masa berbanding kaedah lama iaitu memasaknya di tepi bara kayu api.
Menurut Ahmad Nazari Abdullah, 61, dari Kampung Sentosa Jaya, Paroi di sini, dia bersama rakan-rakannya telah mencuba buat pertama kali kaedah membakar lemang di dalam tong dram pada Aidilfitri lalu dan hasilnya cukup memuaskan hati.
Katanya, rasa lemang yang dimasak di dalam tong dram lebih enak malah aromanya lebih menyelerakan.
“Lemang yang dibakar dengan kaedah ini isinya masak sekata, lebih lembut malah ia juga tidak cepat basi mampu tahan sehingga seminggu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Katanya lagi, apa yang lebih penting proses memasak di dalam tong dram lebih menjimatkan masa berbanding kaedah tradisional.
“Sebelum menggunakan tong dram, saya dan rakan-rakan membakar lemang menggunakan cara lama. Jika dibuat perbandingan, memang proses memasak lemang menggunakan tong dram lebih menjimatkan masa iaitu memerlukan hanya dua jam sahaja untuk masak.
“Ia juga tidak memerlukan kita untuk menjaga api namun setiap setengah jam perlu untuk melihat keadaan batang lemang serta mengetuknya supaya ia dibakar dan masak sekata,” katanya yang menggunakan arang sebagai bahan api memasak lemang.
Ahmad Nazari dalam pada itu memberitahu, sempena Aidiladha, dia rakan-rakan menggunakan dua buah tong dram untuk memasak kira-kira 70 batang lemang.
“Kami menggunakan tong dram terpakai yang kemudian kami ubah suai sendiri termasuk dua lapisan gelung bagi meletakkan batang lemang di dalam tong dram tersebut.
“Selain untuk dinikmati sendiri bersama keluarga, lemang yang kami bakar ini juga untuk jualan kepada rakan-rakan lain serta jiran-jiran sekampung yang ada membuat tempahan,” katanya lagi.-UTUSAN.










