Edar dadah: Jurujual aksesori telefon bimbit ditahan

Edar dadah: Jurujual aksesori telefon bimbit ditahan

RAZLAM Ab Hamid (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kegiatan seorang jurujual aksesori telefon bimbit yang mengedar pelbagai jenis dadah sejak April lalu terbongkar selepas dia ditahan polis dalam satu serbuan di daerah Timur Laut, di sini Jumaat lalu.

Susulan penahanan suspek berusia 24 tahun itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM400,428.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 7 petang di sekitar kawasan pusat bandar menerusi Ops Tapis.

Katanya, ketika ditahan, polis turut merampas dadah jenis ketamin seberat 1.22 gram dan empat anak kunci serta kad akses.

“Selepas penahanan suspek, dengan dipandu arah olehnya, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Paya Terubong.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai 121 paket plastik berwarna merah jambu dengan setiap satu paket mengandungi dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

“Kesemua dadah itu dianggarkan seberat 2,383 gram dan bernilai kira-kira RM397,960,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Razlam, dalam serbuan yang sama, polis turut merampas dadah jenis ketamin sebanyak 10.94 gram bernilai RM2,188 dan dua biji pil eramin 5 bernilai RM40.

Beliau berkata, suspek dipercayai bergerak sendirian dan kesemua dadah berkenaan adalah untuk pasaran di sekitar bandar ini.

“Suspek akan membungkus dadah berkenaan ke dalam paket kecil dan dia dipercayai menjual dadah berkenaan di antara RM100 hingga RM200 sepaket.

“Ujian saringan air kencing suspek positif pelbagai jenis dadah dan dia juga mempunyai rekod jenayah melibatkan kesalahan dadah,”katanya yang memberitahu, suspek aktif menjalankan kegiatan itu sejak April lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×