Ada bukti CCTV, penjaga stor dilepas, dibebas tuduhan edar dadah

Ada bukti CCTV, penjaga stor dilepas, dibebas tuduhan edar dadah

HADRIANSYAH yang diwakili peguam bela, Datuk Ram Singh, dilepas dan dibebaskan tuduhan edar dadah seberat 3,017.04 gram, 13 Mac lalu. UTUSAN/ NASRAWATI SYARIFUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU : Seorang penjaga stor penyimpanan kenderaan yang sebelum ini berdepan pertuduhan mengedar lebih tiga kilogram dadah jenis syabu akhirnya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya.

Keputusan itu dibuat Majistret Don Stiwin Malanjum selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihadapi tertuduh, Hadriansyah Sabran, 42.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebelum ini didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 3,017.04 gram di sebuah stor simpanan kenderaan di Jalan Sin Onn di sini pada pukul 7.30 malam, 13 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

Bagaimanapun, prosiding hari ini pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan selepas meneliti representasi dikemukakan pembelaan bersama rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta dokumen sokongan.

Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili tertuduh berkata, representasi berkenaan dikemukakan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri pada 27 dan 28 April lalu, antara lain membangkitkan kebimbangan serius terhadap integriti tangkapan serta siasatan kes.

Menurutnya, pembelaan mendakwa anak guamnya telah diperangkap apabila bahan terlarang itu dikatakan diletakkan oleh individu lain sebelum tangkapan dibuat sekali gus mencabar kesahihan penahanan dan pertuduhan.

Beliau turut mendakwa kenyataan media berkaitan kes itu telah mengaitkan anak guamnya dan syarikat Smart Bid Auction Sdn Bhd secara terbuka yang didakwa menjejaskan reputasi, termasuk memberi kesan terhadap hubungan perniagaan dan institusi kewangan.

Susulan penelitian terhadap representasi dan bahan bukti termasuk CCTV, pihak Pengarah Pendakwaan Negeri kemudian memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan berkenaan.

Mahkamah seterusnya merekodkan penarikan balik kes sebelum memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN