Polis tahan pasangan kekasih, rampas dadah bernilai RM9.7 juta

Polis tahan pasangan kekasih, rampas dadah bernilai RM9.7 juta

DENNIS Lim Kwang Keng (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Butterworth, Pulau Pinang. UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kegiatan sepasang kekasih yang dipercayai aktif mengedarkan pelbagai jenis dadah sejak Januari lalu berakhir apabila mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Butterworth dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9.7 juta yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, suspek terdiri daripada lelaki tempatan berusia 35 tahun dan wanita tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai merupakan pasangan kekasih serta rakan sejenayah.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 2.25 petang di kawasan parkir sebuah kondominium di Butterworth sebelum polis menahan lelaki berkenaan.

”Pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua yang digunakan suspek menemukan tiga peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 220.69 gram.

”Hasil soal siasat awal dan dipandu arah suspek, pasukan JSJN kemudian menyerbu sebuah unit kondominium yang disewa di kawasan sama dan menahan seorang wanita yang dipercayai rakan sejenayahnya,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di unit kondominium berkenaan menemukan sejumlah besar dadah pelbagai jenis termasuk MDMA, ketamin, pil ekstasi, pil Erimin 5 dan cecair syabu dan dadah jenis piu piu yang disimpan serta diproses sebelum diedarkan.

”Suspek dipercayai menjadikan rumah sewaan itu sebagai tempat memproses dan membungkus semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan. Mereka mendapatkan bahan mentah sebelum mencampurkannya dan membungkus semula untuk tujuan pengedaran,” katanya.

Dennis berkata, keseluruhan rampasan melibatkan lebih 49 kilogram MDMA, kira-kira tiga kilogram ketamin, 1,630 biji pil ekstasi, 700 biji pil Erimin 5 serta 76 kartrij berisi cecair disyaki syabu.

”Dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 221,649 penagih. Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau jenayah,” ujarnya.

Beliau berkata, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,300 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM9.71 juta.

”Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 20 Jun hingga 26 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN