Faizal ‘upah’ ustaz belajar agama

Faizal ‘upah’ ustaz belajar agama

FAIZAL Ismail bersama isteri (kanan) dan anaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Demi memastikan kefahaman haji yang lebih jelas buat keluarganya, penyampai radio, Faizal Ismail, 48, sanggup berguru dengan seorang ustaz.

Inisiatif tambahan itu bagi memudahkan urusan keluarganya dalam mendapatkan penjelasan terperinci berhubung persoalan-persoalan berkaitan ibadat Rukun Islam itu.

Niatnya cuma satu, iaitu memastikan ilmu dan pengetahuan terutama bagi anak serta isteri mencukupi walaupun terdapat kursus disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Paling penting, dia mahu segala persoalan yang menyentuh perjalanan haji terjawab sebelum mereka sekeluarga berangkat ke tanah suci.

“Walaupun sudah biasa mengikut jemaah umrah, tetapi untuk haji ini ada penambahan (rukun) yang perlu difahami.

“Oleh itu, saya dan keluarga mengambil inisiatif untuk faham perkara ini bersama seorang ustaz bagi menjawab setiap persoalan lebih terperinci,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Ibadah haji itu turut disertai isterinya, Nor Azlina Ahmad Din dan anak sulung, Nur Khairina Iman.

Tambah Faizal, antara soalan yang banyak disentuh ialah hal-hal berkaitan wukuf, melontar jamrah dan bermalam di Muzdalifah.

Dalam pada itu, bapa kepada empat anak ini mengakui gemar berkongsi ilmu dan perkara-perkara yang baik di platform media sosialnya.

“Walaupun saya tidak baik sangat tetapi saya mahu mengajak orang lain untuk jadi lebih baik. Contohnya, saya maklumkan tentang tawaran haji dan ketika itu saya terima banyak respons positif dan ucapan tahniah.

“Apabila hampir ke hari penerbangan saya, lagi laju berkongsi kisah haji dan tidak sangka pula ramai yang menanti.

“Saya sentiasa akan memuat naik pergerakan di tanah suci kecuali semasa ibadah yang memerlukan fokus, saya akan tumpukan pada ibadah itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×