SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sukacita terhadap pengiktirafan Labaytum Diamond Award oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk kali ke lima dan dua tahun berturut-turut.
Istana Alam Shah dalam kenyataan berkata, baginda bertitah pengiktirafan tersebut sememangnya layak diberikan kepada badan berkanun itu yang dalam masa sama mengharumkan nama negara.
“Ia bukti jelas kepada kecekapan, profesionalisme dan komitmen tinggi seluruh warga TH dalam mengurus dan menyelaras operasi Haji Malaysia di Mekah dan Madinah.
“Baginda menyifatkan mutu perkhidmatan, kebajikan dan pengurusan yang disediakan oleh TH amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan para jemaah,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, Sultan Sharfuddin turut berkongsi pengalaman menunaikan haji sebanyak dua kali melalui bimbingan TH dan yakin dengan prestasi yang ditunjukkan itu mampu memperkukuh reputasi negara sebagai peneraju dalam pengurusan ibadah tersebut secara sistematik, cekap dan berteraskan prinsip-prinsip syariah.
Sultan Selangor turut mengimbas sejarah penubuhannya oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid apabila pada 1959, melalui model simpanan patuh syariah yang diwujudkan itu membantu orang Melayu menunaikan ibadah haji tanpa menjual aset atau berhutang.
“Baginda turut merakamkan penghargaan kepada para jemaah haji Malaysia yang sentiasa menunjukkan disiplin, adab dan akhlak yang tinggi sepanjang berada di Tanah Suci.
“Baginda bertitah, sikap dan kepatuhan yang ditunjukkan itu sering menjadi contoh dan mendapat pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi serta jemaah antarabangsa dari pelbagai negara,” ujarnya.
30 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan TH mengungguli Anugerah Labbaitom kali kelima berturut-turut yang disampaikan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah membuktikan kecemerlangan pengurusan haji oleh institusi itu antara terbaik di dunia.
Lebih 31,000 jemaah haji Malaysia berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji bagi sesi 1447H/2026 yang dimudahkan pengurusan operasinya kini menggunakan kecerdasan buatan (AI). – UTUSAN









