Batal lesen pengilang ‘seleweng’ beras putih tempatan

Batal lesen pengilang ‘seleweng’ beras putih tempatan

beras putih
BERAS putih tempatan - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Pihak berkuasa padi dan beras negara perlu bertindak tegas dengan menamatkan serta-merta lesen pengilang padi yang gagal atau tidak mengeluarkan beras putih tempatan yang juga dikenali sebagai Super Spesial Tempatan (SST).

Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) mendakwa, isu ketiadaan SST yang membe­lenggu rakyat sehingga kini berpunca daripada aspek penguatkuasaan lemah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Barim, Ismail Awang mendakwa, akibatnya, pengilang yang membeli padi pada harga mahal tidak takut jika tidak membungkus SST walaupun menyedari tiada bekalan dalam pasaran.

GAGAL

“Pihak berkuasa mesti tentukan pengilang-pengilang yang beli padi pada harga tinggi ini dan memproses beras tempatan tanpa gagal.

“Isu SST ini berlarutan sebab pengilang tidak membungkus beras ini, ini antara puncanya. Jadi, ambil tindakan batal segera lesen pengilang terbabit.

“Pihak berwajib perlu bertindak tegas bagi memberikan rasa takut kepada pengilang-pengilang padi,” katanya di sini semalam.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan, isu bekalan SST masih belum reda biarpun kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menangani masalah tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, masyarakat terus mengeluh apabila sukar mendapatkan bekalan SST dan terpaksa membeli beras import yang lebih mahal.

Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohammad Yusrizal Yusoff berkata, penjualan beras Putih Malaysia Madani masih belum menyeluruh.

Isu SST yang didakwa dibungkus pengilang sebagai beras putih import (BPI) sukar dibendung dari awal kerana petani sendiri tiada pilihan untuk menjual padi mereka kepada pihak yang telus.

SETIMPAL

Seorang petani yang hanya mahu dikenali sebagai Ishak berkata, setelah membanting tulang selama beberapa bulan, mereka perlu memastikan pendapatan selepas menuai padi berbaloi dan setimpal dengan modal dikeluarkan.

Katanya, isu beras tempatan yang dibungkus sebagai beras import berada di luar kawalan petani kerana sebagai penjual padi, mereka sudah tentu akan mencari pengilang yang menawarkan harga belian paling tinggi.

Ismail berkata, Barim mempersoalkan ke mana bekalan padi dibeli pengilang terbabit jika tidak diproses menjadi beras tempatan.

“Mereka ini (pengilang) beli padi dari petani tetapi tidak buat (bungkus) beras tempatan, persoalannya ke mana beras itu pergi?

“Ada kemungkinan mereka campur dengan beras import. Jika ini berlaku maka pengilang-pengilang padi terbabit kaut untung berlipat kali ganda. Pengilang senyum lebar, rakyat jadi mangsa,’’ katanya.

Pada 19 Mac lalu, kerajaan memutuskan semua stok semasa padi dan beras yang dibeli pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dikeluarkan untuk pasaran tempatan serta-merta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×