Harga beras tempatan disyor RM38 sekampit

Harga beras tempatan disyor RM38 sekampit

beras
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga ideal bagi beras putih tempatan (BPT) adalah RM38 bagi sekampit 10 kilogram selepas mengambil kira peningkatan kos penanaman padi dan harga sekarang sudah berkuat kuasa sejak 18 tahun lalu.

Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md. Radzi berkata, kadar baharu itu juga diyakini mampu menyelesaikan isu ketiadaan BPT di pasaran sejak awal tahun ini.

Menurut beliau, dengan harga itu, pengilang besar dan kartel tidak lagi akan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import atau mencampurkan BPT dengan beras import.

KOS TINGGI

“Peningkatan harga beras tempatan turut dilihat dapat mengurangkan beban kira-kira 200,000 pesawah yang terpaksa menampung kos yang tinggi ketika ini,’’ katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Menteri Perta­nian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan cada­ngan menaikkan harga siling BPT akan dimuktamadkan sebelum Oktober ini selepas diperhalusi bersama beberapa kementerian.

Musonnef berkata, jika harga beras putih tempatan tidak naik, maka penipuan akan terus berlaku dan bekalan di pasaran te­rus sukar diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, mengikut per­kiraan, kos untuk menghasilkan sekilogram beras adalah 46 sen atau RM460 bagi satu tan metrik meliputi beberapa kos seperti operasi, utiliti dan pelbagai lagi.

Kos itu dijangka meningkat berikutan kenaikan harga diesel RM3.35 sen seliter.

Ini berikutan, jentera pertanian seperti mesin padi, traktor dan lori membawa padi tidak lagi menikmati subsidi diesel.

TIDAK SELESAI

Mengulas lanjut, Musonnef berkata, kenaikan harga BPT bagaimanapun tidak menyelesaikan masalah pokok yang berlaku dalam industri padi.

Katanya, kerajaan perlu mengawal dan mengehadkan kuota belian bagi kilang padi jika mahu menghapuskan kartel dalam industri padi.

Katanya, jika tiada kawalan, kenaikan harga itu hanya menguntungkan pengilang besar atau kartel yang menguasai hampir 70 peratus pasaran padi dan ada rantaian terus sama ada dengan pesawah, pemborong atau peruncit.

“Kilang padi tidak ada had belian. Ada kilang yang beli sampai 40,000 ribu metrik tan semusim sedangkan lokaliti kawasan mereka cuma 15,000 metrik tan.

“Apabila mereka monopoli, mereka kawal bekalan beras tempatan dan boleh menaikkan harga beras serta mengugut tidak mengedarkan bekalan secara senyap,” katanya.

MUKTAMAD

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain berkata, pesawah MADA tidak yakin kerajaan mampu memuktamadkan isu beras putih tempatan sebelum Oktober ini.

Katanya, ini kerana beras putih tempatan masih tiada di pasaran dan perkara itu perlu menjadi keutamaan pihak bertanggungjawab terlebih dahulu.

“Tidak pernah jadi macam sekarang. Kenapa beras tempatan tidak ada dalam pasaran sedangkan kadar sara diri (SSR) beras dalam negara antara 62 hingga 65 peratus,’’ katanya.

“Selesaikan dahulu masalah ketiadaan beras tempatan dengan harganya sekali,” katanya.

Pada masa sama, Che Ani mempertikaikan syarat ketat insentif bantuan subsidi tunai Budi Madani kepada pesawah.

“Antaranya, traktor dan mesin padi perlu ada geran sedangkan kebanyakan petani beli secara terpakai, cuma surat jual beli, jadi tidak dapat harga subsidi. RM200 sebulan itu pula cuma boleh tampung minyak traktor bagi sehari sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN