Tambah subsidi beras, kawal harga beras import

Tambah subsidi beras, kawal harga beras import

KILANG beras mini di kawasan penanaman padi boleh meningkatkan penghasilan beras bagi menampung keperluan semasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kerajaan perlu menambah subsidi beras dalam Belanjawan tahun depan bagi menyelesaikan isu kekurangan dan kenaikan harga beras yang mendadak di pasaran ketika ini.

Selain itu, pihak universiti pula perlu memperbanyakkan kajian bagi menghasilkan varieti benih padi yang boleh me­ningkatkan hasil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mohd. Nazri Subuh, 48, berkata, peruntukan yang lebih banyak perlu diberikan membabitkan perkara berkaitan keterjaminan makanan ini khususnya beras yang menjadi makanan ruji rakyat di negara ini.

PENAMBAHAN

Katanya, kerajaan dicadang­kan memperuntukan sekurang-kurangnya RM500 juta sehingga RM1 bilion untuk tujuan penambahan subsidi berkenaan tahun depan.

Katanya, peruntukan-peruntukan dalam sektor lain mungkin boleh dikurangkan supaya tumpuan utama boleh diberikan kepada isu beras ini.

Katanya, kekurangan bekalan dan harga tinggi beras memberi kesan berbeza berbanding kekurangan dan pe­ningkatan harga bahan makanan lain seperti telur ayam dan minyak masak.

“Isu beras ini tidak boleh dili­hat biasa, bagi rakyat apabila beras tiada dan harga tinggi, ia sangat memberi kesan kepada mereka. Kalau kita lihat, setiap kali program jualan Rahmah, orang ramai beratur panjang, sanggup menunggu berjam-jam bagi mendapatkan beras dengan harga murah.

“Oleh sebab itu, saya lihat peruntukan atau tambahan subsidi beras perlu dilakukan supaya rakyat dapat menikmati beras termasuk beras import dengan harga lebih berpatutan.

“Sebelum ini, tidak pernah berlaku perkara seperti ini. Rakyat boleh saja membeli beras import kerana harga tidak terlalu mahal. Sekarang, beras import sangat mahal manakala beras tempatan yang lebih murah pula sangat sukar diperoleh,” katanya.

KAWAL

Tambah Mohd. Nazri, antara cadangan jangka panjang lain bagi mengatasi isu beras ini adalah dengan mengawal harga beras import.

“Selain itu, hadkan jualan beras tempatan kepada orang tempatan dan jika ada dalam kalangan warga asing yang susah, mungkin boleh diberikan sedikit subsidi,” katanya.

Katanya, penghasilan varieti benih padi baharu perlu sentiasa dipertingkatkan bagi menjamin hasil yang banyak untuk menampung keperluan beras negara.

Selain itu, boleh juga diwujudkan kilang-kilang beras mini di kawasan penanaman padi supaya beras boleh dihasilkan sendiri untuk menampung penggunaan di kawasan-kawasan setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×