JELEBU: Tiga warga asing diselamatkan bomba selepas mereka dipercayai sesat ketika berbasikal secara berkumpulan di Gunung Besar Hantu, Taman Negeri Kenaboi di sini, pagi tadi.
Kesemua mangsa yang merupakan warga Mexico, Ecuador dan United Kingdom bagaimanapun ditemukan pasukan penyelamat kira-kira pukul 1.40 petang tadi selepas mereka dilaporkan gagal dikesan sejak petang semalam.
Komander Operasi Penguasa Bomba Zon Jempol, Yusry Abdullah Sani berkata, sebaik sahaja Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan pada pukul 7.59 pagi, sepasukan anggota dari Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) dan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu telah ke lokasi berkenaan dengan jarak sejauh 41.5 kilometer.
“Ketiga-tiga mangsa yang kesemuanya berusia 40-an hingga 50-an dari Kuala Lumpur itu kemudiannya berjaya ditemukan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan pada jam 1.40 petang. Mereka ditemukan di Jeram Dinding jalan menghala ke Gunung Besar Hantu, berhampiran trek pendakian dari Taman Negeri Kenaboi,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pihak bomba kemudiannya membawa turun kesemua mangsa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) dan berjaya turun bersama anggota penyelamat pada pukul 4.05 petang.
Difahamkan seorang wanita tempatan telah membuat laporan polis mengenai kehilangan suami yang merupakan seorang warga Mexico berusia 49 tahun bersama dua lagi warga asing.
Kesemua mereka telah mengayuh basikal dari rumah di Jalan Segambut, Kuala Lumpur ke Jelebu mengikut Jalan Genting Peras, Hulu Langat, Selangor.-UTUSAN.











