MELAKA: Usianya sudah menginjak 104 tahun, namun siapa sangka motosikal Harley Davidson model F generasi V Twin keluaran 1920 milik Chua Jim Kheng, 66, masih mampu bergerak di jalan raya.
Walaupun perlu mengeluarkan belanja lebih besar bagi proses penyelenggaraan jentera itu berbanding motosikal moden, Jim Kheng berkata, pengalaman menunggangnya amat berbeza dan mempunyai keseronokan tersendiri.
Katanya, maka tidak hairanlah rata-rata pencinta dua roda klasik sepertinya sanggup berbuat apa sahaja termasuk mendapatkan alat ganti dari luar negara.
“Memang agak sukar mendapatkan alat ganti bagi motosikal klasik, kadangkala perlu bayar pada harga tinggi. Namun, cara penyelenggaraannya tidak rumit seperti motosikal moden yang sudah menggunakan sistem elektronik.
“Ini adalah satu daripada 12 motosikal yang saya miliki. Boleh dikatakan, model yang paling saya sayang kerana nilai sentimental yang ada padanya.
“Saya beli daripada seorang lelaki Itali yang tinggal di Melbourne, Australia pada 1992. Ketika itu motosikal ini tidak lengkap, boleh kata 70 peratus komponen tidak ada, jadi saya perlu baiki, cari alat ganti merata tempat termasuk dari luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Program Konvoi Malaysia International Classic Bike Festival 2024 (MICBF24) di sini.
Menurut Jim Kheng, model berkenaan menggunakan lampu karbaid dan ia masih berfungsi untuk menyuluh jalan raya pada waktu malam.
Katanya, minat terhadap motosikal bermula sejak berusia belasan tahun yang mana selain model Harley Davidson dia turut memiliki motosikal klasik lain antaranya daripada jenama BSA, Ariel, Norton, Honda dan Matchless.
“Lampu karbaid masih berfungsi dengan baik menambah nilai sentimental dan keunikan yang ada pada motosikal ini. Kerana minat saya sanggup berhabis ratusan ribu ringgit bagi mendapatkan jentera-jentera unik,” katanya. – UTUSAN










