KUALA LUMPUR: Syarikat automatif Malaysia, Kumpulan MKA yang menerajui jenama RCB, menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) susulan kejayaan menjadi pembekal pemegang (Nagamaki Handle Grip) motosikal pertama dari Malaysia yang digunakan dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, MotoGP.
Pengarah Urusan Jenama RCB, Marcus Leong berkata, pengiktirafan tersebut menjadi bukti usaha berterusan syarikat itu dalam menghasilkan produk bertaraf dunia yang mampu memenuhi keperluan pasukan perlumbaan di peringkat tertinggi.
Menurutnya, kejayaan tersebut bukan sekadar satu anugerah, sebaliknya pengesahan terhadap komitmen seluruh pasukan yang telah bekerja keras membangunkan produk berkualiti tinggi.
“Berada dalam MotoGP sememangnya sesuatu yang membanggakan, namun, apabila usaha kami diiktiraf oleh Malaysia Book of Records, ia menunjukkan segala pengorbanan dan kerja keras yang dilakukan selama ini tidak sia-sia.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan RCB dan juga MBOR yang mengiktiraf pencapaian kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pengiktirafan tersebut di sini, hari ini.
Mengulas mengenai produk pemegang motosikal ‘Nagamaki’ yang mendapat perhatian dalam kalangan pasukan MotoGP, Marcus berkata, reka bentuk produk itu diinspirasikan daripada pedang samurai selepas mengambil kira pelbagai aspek teknikal ketika proses pembangunan produk.
Katanya, produk tersebut dibangunkan bagi membantu mengurangkan keletihan pelumba serta getaran pada motosikal, selain menawarkan tahap cengkaman yang optimum ketika perlumbaan.
“Ketika bekerjasama dengan pasukan MotoGP, mereka mahukan sesuatu yang luar biasa dan mampu berfungsi dalam situasi yang sangat mencabar.
“Semasa proses pembangunan, kami melihat terdapat persamaan dengan pedang samurai. Dalam situasi di mana setiap detik amat penting, pelumba memerlukan cengkaman terbaik dan daripada situlah nama ‘Nagamaki’ diperkenalkan,” ujarnya.
Marcus turut mendedahkan proses untuk mendapatkan pengiktirafan MBOR bukanlah mudah kerana syarikat perlu mengemukakan pelbagai bukti serta dokumentasi bagi menyokong dakwaan kami sebagai pembekal pertama dari Malaysia dalam kategori tersebut.
“MBOR meminta kami mengemukakan pelbagai maklumat termasuk reka bentuk produk dan bukti penglibatan dalam MotoGP. Mereka menjalankan siasatan serta proses pengesahan yang mengambil masa lebih enam bulan sebelum pengiktirafan diberikan.
“Ia bukan sekadar anugerah yang boleh diperoleh dengan mudah kerana terdapat proses saringan yang ketat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, produk RCB kini digunakan oleh beberapa pasukan dalam kategori Moto3, Moto2 dan MotoGP, bergantung kepada keperluan pasukan serta keadaan litar sepanjang musim perlumbaan. – UTUSAN










