KUANTAN: Pasangan kembar qariah mencipta kenangan manis apabila masing-masing muncul johan dan meraih tempat ketiga Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi.
Nor Hidayah Abdul Rahman, 33, merupakan johan menunggu dan Nor Jannah, 33, adalah peserta mewakili Terengganu.
Nor Jannah berkata, kemenangan itu menjadi kenangan manis kali kedua buatnya dan kakaknya yang sebelum ini pernah berkongsi pentas dan muncul johan dan naib johan peringkat negeri.
“Kira ini kali kedualah buat kami yang mana sebelum ini di peringkat negeri, kakak menang sebagai johan manakala saya sebagai naib juara,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup MTHQK di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam.
Nor Hidayah pula berkata, kemenangan yang diraih itu adalah berkat doa ibu bapa, suami serta ahli keluarga.
Katanya, ayah mereka, Abd. Rahman Omar, 74, yang merupakan seorang guru al-Quran menjadi inspirasi buat anak kelapan dan kesembilan daripada 10 beradik itu.
Bekerja sebagai penolong pegawai tadbir di Yayasan Islam Terengganu, Nor Hidayah berkata, penyertaan kali ini adalah kali kelapan buatnya dan merupakan johan kali kedua selepas muncul juara pada tahun lalu.
“Ini kali kelapan saya menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan sejak 2010. Tahun lepas johan kebangsaan dan tempat keempat peringkat antarabangsa.
“Hendak mengekalkan kedudukan sebagai johan itu agak memberi tekanan buat saya sebab rasa payah sikit. Tapi apa yang saya capai hari ini (semalam) bukanlah kerana hebatnya saya, tetapi berkat doa emak dan ayah, suami serta ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, qari dari Negerj Sembilan, Mohammad Husaini Mahmur, 32, pula berkata, penglibatan selama sembilan tahun dalam dunia tilawah dengan enam kali mewakili negeri ke peringkat kebangsaan akhirnya membuahkan hasil apabila dia akhirnya dinobatkan sebagai juara.
“Syukur Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doa saya dan seterusnya akan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa nanti,” katanya. – UTUSAN










