PETALING JAYA: Hampir 400,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan dan dibayar gaji rendah sekiranya tersalah memilih program pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Ini kerana terdapat kalangan lepsan SPM seperti ‘tangkap muat’ mendaftar program di IPT asalkan mereka diterima memasuki pusat-pusat peganjian ini.
Sebilangan lagi pelajar memilih program hanya kerana terpengaruh dengan rakan sebaya tanpa mempertimbangkan prospek kerjaya yang semakin berubah.
Justeru, lepasan SPM yang layak menyambung pengajian perlu memilih program yang relevan dengan keperluan semasa bagi menjamin peluang pekerjaan.
Pensyarah Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Prof Dr. Bustam Kamri berkata, program diploma yang lebih praktikal memberikan kelebihan kepada pelajar dalam pasaran kerja berbanding program yang hanya berasaskan teori.
Menurut beliau, pemilihan universiti dan program harus berdasarkan kemudahan, bantuan yang ditawarkan dan kebolehpasaran graduan.
“Graduan universiti sering menghadapi masalah pengangguran kerana program yang diambil tidak relevan dengan pasaran kerja semasa.
“Program yang ada jaminan pekerjaan perlu diutamakan seperti bidang perhotelan sentiasa memerlukan tenaga kerja dan tidak terjejas oleh kemelesetan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
PENCARIAN
Sebelum ini, dilaporkan seramai 15,460 graduan atau 42 peratus daripada keseluruhan pencarian pekerjaan di portal MyFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia berdepan masalah ketidakpadanan kerjaya iaitu merangkumi masalah graduan yang berkecimpung dalam pekerjaan separa mahir dan rendah serta bergaji RM2,000 ke bawah.
Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu mempelbagaikan tawaran program akademik yang dipacu oleh industri dan teknologi untuk memenuhi minat serta aspirasi kerjaya pelajar.
Menurut beliau, kurikulum juga perlu diperbaharui secara berterusan agar lebih relevan dan memfokuskan kepada keperluan pelajar serta memenuhi permintaan pasaran kerja.
“Semua pihak berkepentingan perlu merangka program dan inisiatif baharu secara menyeluruh supaya dapat memberi impak signifikan bagi mengelakkan kesan jangka panjang terhadap sektor pengurusan dan profesional negara.
“Penggunaan teknologi, format pembelajaran yang lebih fleksibel, pendekatan pembelajaran dan kerjasama yang lebih erat antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan pihak industri akan menyokong usaha pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Kata beliau, usaha ini bertujuan untuk membina keyakinan pelajar bahawa pendidikan yang berkualiti tinggi akan membuka peluang pekerjaan dan memberikan pendapatan yang lebih baik.
“Lepasan SPM perlu mencari program alternatif yang sesuai dengan kelulusan akademik, minat, dan kehendak pasaran kerja. Mereka juga boleh mencari program pengajian yang lebih sesuai dengan keputusan yang diperoleh atau syarat kelayakan yang dimiliki,” katanya. – UTUSAN










