Harapan baharu perangi rasuah habis-habisan

Harapan baharu perangi rasuah habis-habisan

KEJAYAAN Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 banyak bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan memerlukan tekad politik yang kuat dari kerajaan. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELANCARAN Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Mei lalu diyakini mampu menjadi senjata ampuh yang boleh membantu menangani dan memerangi masalah rasuah serta pelbagai ketirisan yang sedang membelenggu anggota masyarakat sekali gus menyelamatkan wang negara.

Dokumen strategik ini menjadi harapan baharu seluruh rakyat yang mahukan negara ini bersih sepenuhnya daripada najis rasuah yang memberi pelbagai impak negatif terhadap kehidupan dan kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara secara keseluruhannya.

Negara memerlukan pendekatan baharu bagi menangani isu jenayah kolar putih yang direkodkan semakin serius dan mula mengancam ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Justeru pihak kerajaan, agensi penguatkuasaan dan anggota masyarakat perlu bekerjasama rapat bagi menjayakan strategi yang digariskan dalam NACS.

Seperti didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, negara kehilangan sejumlah RM277 bilion akibat rasuah dalam tempoh lima tahun lalu. Nilai ini cukup besar dan sepatutnya boleh diselamatkan supaya digunakan untuk menyediakan pelbagai kemudahan rakyat.

Justeru NACS dilihat sebagai dokumen penting yang bakal memeta hala tuju baharu dalam usaha negara membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna secara menyeluruh semua lapisan anggota masyarakat baik pimpinan politik, penjawat awam mahupun swasta.

Dokumen strategik ini menggariskan lima strategi dan 60 sub strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula dari 2024 sehingga 2028 mencakupi strategi penting yang memberi tumpuan kepada usaha peningkatan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk politik, pentadbiran awam, perolehan kerajaan, penguatkuasaan undang-undang, institusi perundangan dan kehakiman, sektor swasta serta orang ramai.

Agensi peneraju perlu menzahirkan komitmen untuk melaksanakan semua sub strategi yang digariskan agar kita mampu membawa Malaysia melangkah ke hadapan berpaksikan prinsip tatakelola baik mencakupi ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan.

Untuk membawa negara ke arah bebas rasuah, kita perlu menjunjung kedaulatan undang-undang, mewujudkan budaya ketelusan dan kebertanggungjawaban serta memastikan semua lapisan masyarakat terlibat secara aktif, menyokong strategi dan usaha anti rasuah.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, semua pihak perlu memahami dengan jelas lima strategi utama iaitu pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan, dan insentif. Semua inisiatif yang digariskan dalam setiap strategi tersebut perlu dilaksanakan mengikut tempoh garis masa iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang agar pada akhirnya NACS mampu mencapai matlamat ditetapkan.

Antara agensi peneraju penting selain SPRM yang mendokong pelaksanaan sub strategi ditetapkan ialah, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri dan beberapa agensi berkaitan yang lain.

Diharap semua agensi yang terlibat ini menyediakan sasaran pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas dan objektif bagi setiap inisiatif yang digariskan agar dapat diukur dan dipantau sepanjang masa. Sasaran yang ditetapkan perlu mencakupi persoalan operasi dan strategik membabitkan peraturan dan dasar supaya apa yang dilaksanakan itu memberikan impak yang maksimum.

Ironinya, pendidikan sekali lagi diangkat sebagai strategi utama untuk memupuk tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan anak-anak sejak dari kecil supaya membenci rasuah dan menjadi generasi yang membudayakan etika dan nilai-nilai murni yang positif.

Kita berharap kerjasama strategik SPRM dan Kementerian Pendidikan mampu membangunkan karakter generasi masa hadapan yang memiliki nilai akhlak tinggi dan terpuji selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

KERJASAMA STRATEGIK
Kejayaan NACS juga banyak bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan memerlukan tekad politik yang kuat dari kerajaan. Dari segi penguatkuasaan, SPRM tidak boleh dibiarkan bersendirian sebaliknya semua agensi penguatkuasaan lain perlu turut membantu memerangi rasuah dan menyelamatkan wang negara.

Kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan lain pasti membolehkan kita memerangi rasuah secara menyeluruh di semua peringkat anggota masyarakat. Ia tidak mustahil untuk dilaksanakan kerana tekad politik Perdana Menteri sendiri dilihat cukup jelas dan sentiasa menyokong penuh usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

Diharap beberapa inisiatif di bawah strategi penguatkuasaan seperti memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembiayaan Politik dan menyemak had perbelanjaan calon pilihan raya akan mendapat sokongan penuh semua ahli politik di negara ini.

Penglibatan dan kerjasama anggota masyarakat di pelbagai peringkat pula diangkat dalam strategi insentif bagi merangka sub strategi bagi rebat cukai untuk individu dan syarikat yang mengambil bahagian dan menyumbang dalam program pencegahan rasuah, semakan elaun saksi dalam kes perbicaraan rasuah, menawarkan insentif kepada pemberi maklumat dan pengurangan cukai bagi menggalakkan penyertaan entiti yang menganjurkan program antirasuah.

Anggota masyarakat perlu melihat ini sebagai ruang dan platform terbaik untuk sama-sama berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani masalah rasuah di negara ini.

Hakikatnya, NACS membawa sinar harapan baharu untuk membebaskan negara dari rasuah, justeru pelaksanaan dan keberkesanan setiap inisiatif ditetapkan perlu dinilai dan dipantau secara berkala supaya sebarang kelemahan atau kekangan yang ada dapat ditangani dengan segera.

Semoga tiga prasyarat, iaitu iltizam politik, institusi yang teguh serta dasar yang inklusif dan bertanggungjawab mencakupi kerjasama mahupun komitmen kerajaan, agensi penguatkuasaan dan anggota masyarakat mampu merealisasikan pencapaian NACS sebagai strategi baharu pembanterasan rasuah di negara ini.-UTUSAN

NOOR Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pendaftar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×