Sasar KDNK tumbuh antara 4 hingga 5 peratus munasabah

Malaysia mampu capai pertumbuhan ekonomi 4 hingga 5 peratus tahun ini

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat hingga lima peratus tahun ini mampu dicapai berdasarkan pasaran buruh, kuasa membeli dan eksport barangan perkilangan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sasaran itu munasabah berdasarkan peningkatan pertumbuhan bagi suku pertama 2024 (S1 2024) iaitu 4.8 peratus (Januari) dan lima peratus (Februari).

“Perkara ini berdasarkan pasaran buruh yang baik apabila negara telah berada dalam guna tenaga penuh dan ramai rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan.  Perbelanjaan pengguna yang membentuk 61 peratus daripada KDNK negara menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, perlaksanaan projek infrastruktur seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link, MyDIGITAL 5G dan projek Lebuhraya Pan Borneo merancakkan sektor pembinaan serta sektor yang berkaitan seperti pembuatan dan perkhidmatan.

“Permintaan luaran juga dijangka menyumbang lebih baik dengan jangkaan permintaan terhadap sektor teknologi dan komoditi yang merupakan eksport utama negara. Justeru, prospek ekonomi negara berada dalam keadaan yang menggalakkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan lebih pantas pada S1 2024 didorong oleh perbelanjaan swasta dan pemulihan dalam eksport.

Ia sekali gus membolehkan Malaysia mampu mencapai sasaran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus tahun ini, setelah menyaksikan kenaikan 4.2 peratus dalam KDNK pada S1 2024.

Selain itu, Mohd. Afzanizam berkata, jangkaan KDNK pada tahun ini adalah 4.5 peratus.

“Secara purata, KDNK bakal bertumbuh sekitar 4.3 peratus sehingga 4.5 peratus pada tempoh S2, S3 dan S4 2024.

“Pengenalan skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terbaharu iaitu Akaun Fleksibel mampu memberi sumbagan kepada pertumbuhan negara dalam jangka pendek serta pasaran buruh yang stabil,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perubahan positif S1 2024 adalah berita baik untuk ekonomi negara apabila meletakkannya dalam landasan terbaik untuk terus berkembang.

“Ini dibantu oleh ekonomi domestik yang terus menjadi teraju utama, eksport barangan perkilangan bukan hanya industri produk elektrik dan elektronik (E&E) tetapi barangan lainnya.

“Industri pelancongan semakin meningkat dengan jumlah pelancong berada di atas anggaran terdahulu dan lebih baik iaitu 32.5 peratus pada S1 2024 berbanding tempoh yang sama 2023. Ini selari dengan promosi Tahun Melawat 2025 nanti dan pemberian visa mudah kepada pelancong India dan China,” katanya.

Selain itu, Aimi Zulhazmi berkata, sektor perkhidmatan dan Perkilangan bertambah baik dibandingkan antara S1 2024 dgn S4 2023, iaitu masing-masing pada kadar 4.7 peratus dan 1.9 peratus.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu dilihat secara keseluruhan tahun 2023 terutama S2 dan S3 di mana KDNK negara mula menurun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×