7.5 juta rakyat hidap kolestrol tinggi

7.5 juta rakyat hidap kolestrol tinggi

DZULKEFLY Ahmad ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran NHMS 2023 di KKM Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 7.5 juta atau 33.3 peratus rakyat Malaysia menghidap kolesterol tinggi diikuti 6.7 juta (29.2 peratus) penghidap tekanan darah tinggi dan 3.6 juta (15.6 peratus) mempunyai penyakit kencing manis.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebahagian besar penghidap penyakit berkenaan yang tidak didiagnosis tergolong dalam kelompok mereka yang berumur lebih muda.

“Penemuan ini amat membimbangkan kerana penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tidak didiagnosis dalam kalangan umur lebih muda akan memberi komplikasi kesihatan lebih cepat pada golongan tersebut,” katanya selepas Majlis Pelancaran Hasil Penyelidikan NHMS 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, trend peningkatan prevalens orang dewasa yang berlebihan berat badan dan obesiti memerlukan perhatian serius dan tindakan segera Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencegah komplikasi kesihatan berkaitan.

Jelas beliau, salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan prevalens ini adalah pengambilan gula secara berlebihan.

“Bagi membendung masalah ini, kerajaan melaksanakan pendekatan fiskal iaitu mengenakan cukai eksais kepada minuman bergula dan minuman pra campuran yang diterajui Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” ujarnya.

Berdasarkan dapatan NHMS 2023, trend berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan dewasa menunjukkan peningkatan berterusan iaitu melonjak hampir 10 peratus dalam tempoh satu dekad.

Ia meningkat daripada 44.5 peratus pada 2011 kepada 54.4 peratus pada 2023, di samping peningkatan hampir sama untuk obesiti abdomen.

Selain itu, lebih daripada 500,000 atau merangkumi 2.5 peratus orang dewasa menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.

Dapatan berkenaan turut mendapati hanya 4.9 peratus orang dewasa mengambil hidangan harian buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi seperti disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini