6 rumah di Kuala Muda, 4 kampung di Sik dinaiki air

6 rumah di Kuala Muda, 4 kampung di Sik dinaiki air

ANGGOTA APM Daerah Sik memeriksa paras air di Kampung Lubuk Tualang susulan banjir kilat di Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Hujan lebat berterusan  awal pagi ini menyebabkan enam buah rumah di dua mukim dalam Daerah Kuala Muda dilanda banjir kilat.

Tiga buah rumah terlibat adalah di Kampung Haji Wahab manakala tiga lagi membabitkan rumah di Kampung Jerung yang dimasuki air setinggi 0.3 meter.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, limpahan air dari sungai berdekatan mula memasuki rumah penduduk sekitar pukul 10.10 pagi.

“Kita telah menghantar anggota membuat pemantauan di dua kampung itu selain mengarahkan mereka membantu mangsa terlibat berdasarkan keperluan semasa.

“Keadaan ketika ini sudah surut dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, empat kampung di Sik, dekat sini turut dilanda banjir kilat membabitkan Kampung Lalang, Kampung Lubuk Tualang, Kampung Bendang Man dan Kampung Jerai.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, hujan lebat bermula sejak pukul 8.30 pagi di hulu Mukim Sik menyebabkan kawasan itu dinaiki air sehingga 0.9 meter.

“Berikutan itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik melakukan pemantauan paras air di Sungai Chepir pada pukul 9.30 pagi tadi dan mendapati beberapa kampung sudah dinaiki air.

“Sungai Charuk Tebal di Kampung Lalang dan Kampung Lubuk Tualang berada pada paras bahaya namun air sudah sedikit surut 30 minit kemudian,” katanya.

Haisul Aishah berkata, hasil pemantauan di Sungai Chepir di Kampung Bendang Man turut menunjukkan paras bahaya, namun kini mulai surut.

Beliau berkata, jika berlaku pertembungan air Sungai Chepir dan air Sungai Charuk Tebal di Kampung Jerai, ia berpotensi boleh menyebabkan banjir lebih teruk di kampung berkenaan dan sekitarnya.

“Penduduk di kawasan hilir Sungai Chepir dinasihatkan supaya bersedia untuk berpindah ke kawasan tinggi jika paras air terus meningkat terutama di Kampung Jerai,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×