GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kini bersiap sedia untuk melepaskan rizab kemarau strategik dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) jika air mentah yang mencukupi gagal diabstrak dari Sungai Muda di Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K.Pathmananthan berkata, dalam hal ini, pihaknya akan melepaskan sehingga maksimum 600 juta liter air mentah sehari (JLH) dari EMD jika ia tidak dapat mengabstrak air mentah yang mencukupi.
Pada Selasa lalu katanya, paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang PBAPP di Seberang Perai telah turun kepada 1.72 meter, iaitu di bawah paras selamat 2.0 meter.
“Di Kedah, SADA (Syarikat Air Darul Aman) telah mengumumkan bahawa Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Pejabat Lembangan Sungai Muda (PLSM) telah meningkatkan jumlah air yang dilepaskan dari Empangan Beris ke Sungai Muda iaitu daripada 864 JLH kepada 1,296 JLH.
“Semalam pula, paras air Sungai Muda turun kepada 1.61 meter di Lahar Tiang dan PBAPP terus mengabstrak air mentah yang mencukupi daripada sungai tanpa menggunakan EMD.
“Bagaimanapun, PBAPP juga berjaya menjalankan percubaan pelepasan dari EMD sebagai persediaan untuk senario kes yang lebih teruk,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, SADA dalam satu kenyataannya kelmarin memaklumkan bahawa paras air Sungai Muda yang melibatkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani dan Pinang Tunggal telah menunjukkan trend menurun dan pengguna air di daerah Kuala Muda juga berisiko untuk mengalami gangguan bekalan air.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pengguna air di Pulau Pinang setakat ini tidak mengalami sebarang isu berkaitan bekalan air susulan paras air Sungai Muda yang semakin menurun.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, EMD berfungsi sebagai sumber sokongan untuk cuaca kering yang boleh digunakan jika PBAPP tidak dapat mengabstrak air yang mencukupi dari Sungai Muda.
“Pada masa ini, PBAPP mengabstrak kira-kira 1,200 JLH dari Sungai Muda untuk pengeluaran optimum air terawat di LRA Sungai Dua dan LRA ini turut menghasilkan kira-kira 85 peratus daripada air terawat yang diagihkan di Pulau Pinang setiap hari,” katanya.
Tambah beliau, kapasiti pelepasan maksimum daripada EMD ialah 600 JLH, atau kira-kira 50 peratus daripada air mentah yang diperlukan oleh LRA Sungai Dua untuk beroperasi secara optimum.
“Oleh itu, selagi PBAPP dapat mengabstrak 600 JLH air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan 600 JLH daripada EMD, sepatutnya tiada gangguan bekalan air tidak berjadual di Pulau Pinang.
“Tiada ancaman segera tetapi PBAPP beroperasi pada status siap siaga yang tinggi, sehingga hari ini, tiada ancaman segera terhadap bekalan air di Pulau Pinang yang berkaitan paras air Sungai Muda,” katanya.-UTUSAN










