Tragedi Aceh bangkitkan memori 21 tahun mangsa tsunami Kuala Muda

Tragedi Aceh bangkitkan memori 21 tahun mangsa tsunami Kuala Muda

ABDUL Wahab Zainol masih mengingati kejadian tsunami 21 tahun lalu dengan jelas apabila menggambarkan ketinggian ombak besar melepasi kepala yang kemudian membadai bumbung rumahnya di Kampung Kepala Jalan, Kuala Muda di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Walaupun sudah 21 tahun bencana tsunami melanda Kampung Kepala Jalan, Kuala Muda di sini, namun kejadian pada pukul 1.15 petang, 26 Disember 2004 masih sukar dipadam daripada ingatan penduduk.

Ditambah lagi dengan kejadian terbaharu di Aceh yang dibadai Taufan Senyar pada 22 November lalu, mengakibatkan 49 kematian dan banyak kerosakan dialami penduduk, kejadian itu membuatkan mangsa di Kuala Muda kembali trauma kerana bimbang tragedi bakal berulang.

Rata-rata penduduk yang ditemui berkata, kejadian di Aceh membuatkan mereka terkenang bencana yang berlaku dan kepayahan menyelamatkan diri pada hari kejadian iaitu hari Ahad, 26 Disember 2004, 21 tahun yang lalu.

Seorang penduduk, Abdul Wahab Zainol, 74, berkata, pagi hari kejadian tsunami, dia berada di rumah seorang penduduk berdekatan simpang tiga di kampung mereka bagi membantu kerja-kerja memasak untuk majlis kenduri kahwin.

“Cuaca cerah pagi itu dan sebaik selesai kerja-kerja memasak lauk kenduri tiba-tiba air laut dilihat bergerak laju dari pantai menuju ke perkampungan kami. Ombak itu agak luar biasa dan saya berlari pulang ke rumah untuk memastikan tiga anak selamat,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut bekas pemandu lori itu, sebaik menghampiri kawasan rumah dia melihat anak lelakinya, Mohd. Nazir yang ketika itu berusia enam tahun sedang berdiri di tepi jalan sambil melihat gulungan ombak menuju ke arah mereka.

“Saya menjerit memanggil namanya dan dalam masa sama berlari mendapatkannya sebelum bawa pulang ke rumah dan ketika itu juga ombak setinggi paras dada mula membadai menyebabkan kami dua beranak kebasahan.

“Sampai di rumah saya memanggil dua lagi anak dan isteri, Fuziah Yahaya sambil arahkan mereka mengikut saya berlari ke belakang rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Kata Abdul Wahab, sebaik berjaya meletakkan dua anak­nya di belakang bahagian dapur dan memastikan keselamatan isteri dan seorang lagi anak mereka, dia melihat sekeliling selepas mendengar deruman ombak besar semakin menghampiri rumahnya.

“Hanya beberapa minit selepas ombak pertama, ombak kedua tiba melepasi bahagian bumbung dan menghanyutkan saya sehingga terdampar di pohon pokok nipah di belakang rumah.

“Ketika itu saya hampir lemas kerana tidak boleh bernafas berikutan ombak itu turut membawa lumpur dan selepas sedar saya panggil isteri me­mintanya tidak meninggalkan kawasan mereka berlindung bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.

MOHD NAZIR ABDUL WAHAB

Sementara itu, Mohd. Nazir Abdul Wahab, 27, berkata, dia tidak menyangka tindakan pantas bapanya berjaya menyelamatkannya daripada maut dalam kejadian itu.

“Memang ombak kedua itu tinggi dan tanpa bantuan bapa sudah pasti saya akan dihanyut­kan arus dalam kejadian itu. Saya trauma sampai sekarang untuk berada di tepi pantai terutama ketika melihat gulungan ombak di tengah laut,” katanya.

Bagi Idris Hussin, 71, kejadian Aceh dibadai ribut Senyar baru-baru ini menyebabkan fikirannya kembali melayang mengingati kejadian tsunami yang menimpanya 21 tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana ketika kejadian sedang menghidangkan nasi kenduri untuk dimakan bersama keluarga di tepi pantai berhadapan rumah.

“Selepas melihat ombak pertama menghampiri pantai kami bingkas bangun dan berlari pulang menyembunyikan diri dalam rumah sebelum ombak kedua menyerang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×