KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin hari ini memfailkan permohonan agar kes dihadapinya tidak mengisytiharkan aset dipindahkan ke mahkamah sesyen lain.
Daim, 86, memohon agar kes yang didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi dipindahkan ke mahkamah lain.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How ketika sebutan kes manakala disahkan peguam Daim, M. Puravalen.
Bekas Menteri Kewangan itu telah memfailkan permohonan pada 7 Mei lalu agar kesnya dipindahkan ke mahkamah antaranya alasan iaitu ketidakadilan dan prejudis.
Ini kerana isterinya, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dibicarakan di mahkamah sama.
Oleh yang demikian, kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan perlu mengemukakan afidavit dan hujahan bertulis sebelum 4 Julai ini.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh tersebut untuk mendengar permohonan tersebut.
Pada 23 Januari lalu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen sama di atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Kemudiannya pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah di hadapan Azura di atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 70 aset hartanya dan satu bank akaun, Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Daim sebelum ini didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan aset antaranya akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar serta Rolls Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah/ tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.











