HULU SELANGOR: “Janganlah terikut dengan emosi orang yang keluar parti kerana tidak boleh menjadi calon pilihan raya”.
Demikian pesanan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada pengundi-pengundi Kuala Kubu Baharu yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei ini.
Kata beliau, pengundi perlu memberi kepercayaan kepada Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan bagi meneruskan pembangunan di Kuala Kubu Baharu.
“Ramasamy (Dr. P. Ramasamy) dia kecewa dengan DAP, sebab dia pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang (tetapi) bila tidak dicalonkan semula di Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, dia mengamuk.
“Selepas itu sebagai tanda protes dia keluar daripada (DAP) dan menubuhkan parti baharu. Termasuk sahabat kita, bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang (Tan Sri Noh Omar) dan bekas Ahli Parlimen Ketereh (Tan Sri Annuar Musa), hanya tidak menjadi calon pilihan raya dia mengamuk,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir, Kerling, di sini.
Terdahulu, media melaporkan, Ramasamy yang juga merupakan Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) itu menggesa di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut untuk tidak mengundi Sock Tao.
Malah, kempen Perikatan Nasional (PN) turut didapati dihadiri oleh Noh Omar dan Annuar Musa yang membantu calon parti itu iaitu Khairul Azhari Saut.
Saarani yang juga merupakan Menteri Besar Perak itu berkata, dakwaan pengundi Melayu berpihak kepada PN adalah hanya satu bentuk peperangan psikologi.
“Kemenangan pilihan raya hanya akan ditentukan (oleh) bilangan kertas undi dalam kotak undi, kalau PN khususnya Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengatakan dia sudah cukup undi untuk menang, itu salah.
“Jangan siapa-siapa terpedaya, bukan kira kertas undi hari ini (tetapi) pada malam kiraan undi. Ini hanya peperangan psikologi. Dia tengok orang datang takbir, ramai datang dengar ceramah, itu kadang-kadang jentera daripada luar (sedangkan) pengundi di rumah,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan melakukan lawatan dari rumah ke rumah untuk menyantuni pengundi dan meyakinkan mereka mengundi Sock Tao.











