HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) kelmarin membatalkan lawatannya ke enam kampung Orang Asli di sini bagi berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu selepas tok batinnya dipercayai ‘disorok’.
Berdasarkan maklumat diberikan oleh wakil jentera, calon dijadualkan menziarahi Kampung Tun Abdul Razak, Kampung Gerachi Jaya, Kampung Buluh Telur, Kampung Sungai Jang dan Kampung Bukit Seberau.
Bagaimanapun, sebaik tiba di kampung pertama iaitu Kampung Tun Abdul Razak sekitar pukul 2 petang, ahli keluarga memaklumkan tok batin tiada di rumah, malah cubaan menghubunginya juga gagal, begitu juga di Kampung Gerachi Jaya dan Kampung Pertak.
Situasi tersebut menyebabkan berlaku adegan kejar mengejar melibatkan kira-kira 10 kenderaan antara pemberita yang membuat liputan dengan jentera dan calon PN, Khairul Azhari Saut untuk pergi lokasi kampung seterusnya.
Akhirnya lawatan di kesemua kampung orang Asli terpaksa ditangguhkan dan calon bersama jentera pulang ke Bilik Gerakan Utama PN.
Namun, Tok Batin Kampung Tun Abdul Razak, Tok Batin Asu ketika dihubungi memaklumkan terdapat perjumpaan antara tok batin kampung-kampung Orang Asli diaturkan lebih awal berbanding lawatan calon dan jentera PN.
“Pada mulanya, saya tak tahu mereka hendak buat lawatan ke kampung kami, sehinggalah dapat mesej melalui WhatsApps mengatakan mereka hendak melawat rumah ke rumah di kampung Orang Asli.
“Ketika itu kami sudah ada di tempat lain. Mereka pula tak beritahu lebih awal. Tetapi pada petang (semalam) mereka atur sekali lagi untuk mengadakan lawatan,” katanya.











