PUTRAJAYA: Wanita Keadilan menyasarkan untuk melatih 100 wanita bagi kumpulan pertama di bawah program Sekolah Wanita (SWAN), iaitu platform melatih pemimpin wanita masa depan.
Ketua Wanita Keadilan Pusat, Fadhlina Sidek berkata, SWAN dibangunkan bertujuan memperkasakan kecerdasan wanita di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, sekolah ini terbuka untuk semua tanpa mengira latar belakang politik membabitkan penyertaan seawal sekolah rendah.
“Tapi apa yang penting mereka (yang masuk ke SWAN) benar-benar berminat menguasai beberapa segmen dan dimensi keilmuan dan aktivisme seterusnya menyiapkan diri untuk menerajui negara,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran SWAN di sini, malam tadi.
Majlis pelancaran SWAN disempurnakan isteri Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Katanya, sekolah itu akan beroperasi di sebuah premis di mana ia dilengkapi dengan kelas, tenaga pengajar dan diketuai Pengetua Yong Bazilah Abu Bakar.
Fadhlina berkata, beberapa konsultan dan pakar perunding juga telah dilantik bagi mengendalikan sesi bersama sekolah ini.
Menurutnya, permohonan bagi sekolah ini akan dibuka dalam masa terdekat dan kelas akan mula beroperasi bulan hadapan tanpa apa-apa yuran pengajian.
Ditanya kemana hala tuju lepasan sekolah ini pada masa hadapan, Fadlina berkata, konsep asas sebuah sekolah pastinya memaknusiakan manusia selain memberi manfaat kepada manusia lain.
Katanya, tumpuan SWAN ini pastinya mahu melahirkan aktivis masyarakat terlatih, pemimpin masyarakat dan pemimpin negara.
“Malah, kita juga bersedia mempertaruhkan mereka pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Sementara itu, Yong Bazilah berkata antara modul yang ditawarkan di SWAN ialah politik, ekonomi, advokasi, demokrasi, perundangan, kesejahteraan dan personaliti keterampilan. UTUSAN











