Kelantan hilang 40,000 tan hasil padi akibat kemarau

Kelantan hilang 40,000 tan hasil padi akibat kemarau

AZMAN Mahmood (kanan) mengendalikan jentera tuai menyempurnakan gimik perasmian tuaian padi bendang Gong Chengal, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. UTUSAN/TOREK SULONG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kemarau panjang dan cuaca panas melampau yang melanda negeri ketika ini menyaksikan Kelantan kehilangan hasil padi sebanyak 40,000 tan metrik sekali gus menjejaskan pendapatan petani serta pengeluaran beras negara.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood berkata, secara lazimnya hasil tuaian mencecah 90,000 metrik tan berbanding musim ini hanya 50,000 metrik tan.

Menurutnya, susulan itu para petani memerlukan jadual penanaman baharu berasaskan iklim semasa termasuk mengkaji keperluan dan urus tadbir dalam berdepan perubahan cuaca.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kelantan adalah penyumbang kedua pengeluaran beras negara selepas kedah yang juga mengusahakan 80,000 hektar tanaman padi di bawah Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) selain penanaman di luar jelapang.

“Oleh itu, langkah-langkah perlu akan diambil bagi memastikan kebajikan petani ter­bela dan pengeluaran hasil padi distabilkan semula,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Penuaian Padi Smart SBB di Bendang Gong Chengal, di sini semalam.

Azman memberitahu, di bawah tabung bencana padi, pesawah akan menerima bantuan kerajaan sebanyak RM846 bagi keluasan tiga hektar pertama sekiranya padi berusia 71 hari musnah disebabkan kemarau.

Katanya, kerosakan tanaman yang melebihi 71 hari ke atas akan disalurkan bantuan sebanyak RM1,800 bagi tiga hektar pertama dibawah tabung yang sama.

“Pada masa akan datang Kerajaan akan memperkenalkan skim takaful tanaman padi yang akan diuruskan oleh AgroBank dengan kos pampasan yang lebih tinggi dan pantas bagi meringankan bebanan kerugian pesawah,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Azman, kerajaan turut bercadang memperkenalkan 12 varieti padi jangka pendek yang boleh dituai selepas 80 hari penanaman.

Katanya, kesemua padi itu tahan serangan perosak dan kemarau sebagaimana yang diusahakan oleh petani di Thailand dan Vietnam.

“Sistem takungan air banjir dan saluran air paip ke sawah juga akan diperluaskan bagi mengurangkan ketergantungan kepada taburan hujan serta sumber air dan terusan sebagaimana yang telah dilaksanakan di Kawasan Pembangunan Pertanian (IADA) Batang Lupar, Sarawak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini